AT Systematization terima kelulusan untuk pasarkan sarung tangan nitril ke Amerika Syarikat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AT Systematization terima kelulusan untuk pasarkan sarung tangan nitril ke Amerika Syarikat

Oleh JOHARDY IBRAHIM
[email protected]

 

 

PULAU PINANG 17 Dis – AT Systematization Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, AT Glove Engineering Sdn. Bhd. (ATGESB) diberi kelulusan untuk memasarkan sarung tangan nitril ke Amerika Syarikat (AS) setelah memenuhi keperluan prosedur yang ditetapkan oleh agensi Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) negara itu.

 

Syarikat itu menerima surat pemakluman bertarikh 16 Disember lalu dari FDA berkaitan peraturan 510(k) iaitu notifikasi kebenaran sebelum penjualan, yang menyatakan potensi untuk mengangkut dan memasarkan sarung tangan ujian nitril ke AS.

 

Pengarah Urusan AT, Choong Lee Aun berkata, kebenaran Lesen Produk Perubatan 510(k) FDA itu membolehkan syarikat meluaskan capaian produk lebih luas ke dalam pasaran AS yang sangat menguntungkan.

 

Beliau berkata, ia adalah sebahagian daripada usaha kami untuk mengembangkan capaian geografi syarikat.

 

''Langkah memasuki pasaran AS ini menyokong pertambahan kapasiti pengeluaran kami yang bakal bermula.

 

''Terdapat empat tambahan barisan pengeluaran di kilang kami di Chemor, Perak, yang akan melonjakkan kapasiti pengeluaran kami menjadi 2.0 bilio setahun,'' kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.


 

At
CHOONG LEE AUN

 

AT menyertai sektor pengeluaran sarung tangan ujian nitril bergred perubatan pada 2020 dan kini memiliki enam barisan pengeluaran dengan kapasiti tahunan sebanyak 1.2 bilion.

 

Di samping itu, AT juga secara agreasif meningkatkan pertambahan kapasiti divisyen sarung tangannya untuk meraih lebih banyak perniagaan dan baru-baru ini memuktamadkan beberapa tapak perindustrian di Kamunting, Perak bagi menyediakan lebih 50 barisan pengeluaran yang akan meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran tahunannya.

 

Choong berkata, permintaan untuk sarung tangan itu dijangka terus meningkat disebabkan kesedaran terhadap penjagaan kesihatan yang lebih tinggi, terutama dari negara-negara yang membangun.

 

''Terdapat pertambahan penggunaan sarung tangan di lebih banyak sektor dan industri sebagai sebahagian norma baharu termasuk syarikat penerbangan, hospitaliti dan pemprosesan makanan.

 

''Peningkatan permintaan bagi sarung tangan perubatan berkualiti akan berterusan untuk mengekalkan permintaan global terhadap sarung tangan getah dalam jangka masa panjang,'' kata beliau. - DagangNews.com