Sunway Construction ada peluang raih kontrak dalam projek MRT3 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sunway Construction ada peluang raih kontrak dalam projek MRT3

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 27 April - Sunway Construction Group Bhd. berpeluang meraih kontrak dalam projek projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) terutama berkaitan kerja-kerja landasan tinggi, menurut RHB Research. 

 

Penganalisisnya, Adam Mohamed Rahim berkata, walaupun kumpulan setakat ini masih belum meraih sebarang kontrak baharu, tetapi penambahan kerjanya mungkin datang daripada projek MRT3, yang dijangka diumumkan pada suku keempat 2022.

 

Katanya, menerusi projek MRT2, Sunway Construction memperoleh nilai kerja berjumlah RM1.4 bilion bagi bahagian kerja-kerja landasan tinggi pada 2016 dan 2017. 

 

"Di bawah MRT3, Kementerian Pengangkutan memberi panduan bahawa kerja-kerja landasan tinggi dijangka merangkumi 80% daripada jajaran. 

 

"Oleh itu, kami menganggarkan jumlah nilai kerja ini berada dalam julat antara RM15 hingga RM20 bilion, dengan menggunakan kos yang sama bagi setiap kilometer seperti mana MRT2. 

 

"Jadi, terdapat banyak peluang untuk kerja-kerja landasan tinggi, dan kami percaya bahawa kumpulan adalah calon yang layak untuk memenangi kerja-kerja bagi bahagian tinggi MRT3," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Setakat 31 Disember 2021, Sunway Contruction memiliki nilai kontrak dalam tangan berjumlah RM4.8 bilion, bersamaan 3 kali ganda hasil pembinaan bagi tahun kewangan 2021 (FY21).

 

Adam Mohamed turut menjangkakan untung bersih kumpulan pada suku pertama 2022 adalah 15 hingga 25% lebih tinggi bagi asas tahun ke tahun, sekutar RM23 dan RM25 juta.

 

"Persekitaran operasi dijangka normal susulan pembukaan semula ekonomi pada suku keempat 2021, di samping ketiadaan sekatan pergerakan seperti dilaksanakan pada suku pertama 2021," tambahnya.

 

Secara keseluruhan, RHB Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Sunway Construction dengan harga sasaran lebih tinggi pada RM1.93 daripada RM1.74 sebelum ini. 

 

"Walaupun kami tidak membuat sebarang perubahan dari segi unjuran pendapatan dan penilaian, tetapi 
masih wujud beberapa risiko utama kepada kumpulan.

 

"Antaranya, tawaran kontrak yang tertangguh, nilai tawaran kontrak yang lebih rendah daripada jangkaan dan kos bahan mentah tinggi dalam tempoh yang lebih lama," jelasnya. - DagangNews.com