Subsidi bersasar, inflasi penghalang utama pertumbuhan adex media konvensional - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Subsidi bersasar, inflasi penghalang utama pertumbuhan adex media konvensional - RHB Investment

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 17 April - Subsidi bersasar dan tekanan inflasi yang kian meninggi menjadi penghalang utama kepada pertumbuhan perbelanjaan iklan (adex) memandangkan pembelian barangan bukan keperluan dan sentimen pengguna akan tergugat akibat program kerajaan itu. 

 

RHB Investment Bank (RHB Investment) berkata, keadaan ini diburukkan lagi dengan perkembangan geopolitik semasa yang kian menggusarkan. 

 

Namun demikian, kata firma penyelidikan itu, adex digital terus muncul sebagai faktor pendorong utama dalam mengharungi situasi sukar ini.

 

"Peralihan yang semakin menjauhi media konvensional ini berlaku oleh sebab perubahan tingkah laku masyarakat dalam menggunakan media selain lebih terpikat dengan media sosial," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut RHB Investment, pihaknya buat masa ini mengekalkan unjuran pertumbuhan adex berdigit tunggal sederhana bagi tahun 2024, disokong jangkaan ekonomi berkembang lebih pesat dan pengukuhan nilai Ringgit Malaysia (RM) pada separuh kedua 2024 (2H24).

 

"Bagi adex kasar dari awal tahun hingga Februari menyaksikan kenaikan 19% didorong prestasi segmen televisyen siaran percuma atau FTA (+19% YoY), digital (+38% YoY), dan radio (+24% YoY).

 

"Secara perbandingan bulan ke bulan (MoM), adex susut 12% akibat tempoh bulan Februari yang lebih singkat. 

 

"Walaupun adex surat akhbar semakin menurun MoM, ia kembali menaik 3% YoY pada Februari, iaitu pertumbuhan positif pertamanya secara YoY dalam tempoh 15 bulan," jelasnya sambil menekankan pertumbuhan dijangka terhalang akibat program subsidi bersasar dan inflasi.

 

Dalam pada itu, RHB Investment berkata, pertumbuhan lebih pesat dalam segmen pengiklanan luar (OHH) mampu menepis kesan buruk daripada medium-medium adex konvensional yang terus berdepan tekanan struktur.

 

"Oleh itu, kami bertindak memilih Media Prima (MPR) sebagai syarikat pilihan utama kami disebabkan oleh asas adexnya yang pelbagai selain terdedah kepada segmen OOH yang pesat berkembang. 

 

"Saranan NEUTRAL dikekalkan," kata firma penyelidikan itu.

 

Sementara itu, RHB Investment berkata, perolehan ASTRO berdepan beberapa halangan pertumbuhan utama seperti pembikinan kandungan dan liputan mengenai acara-acara sukan yang menelan belanja lebih mahal ekoran nilai mata wang ringgit yang lemah.

 

"Pertumbuhan Media Prima mungkin terbatas oleh keadaan adex yang lemah, kerugian berpanjangan dalam saluran beli-belah dari rumah dan jualan kandungan yang lebih rendah. 

 

"Oleh itu, usaha pelaburan yang berterusan dalam menyuntik nafas baharu pada bahagian kandungan dan teknologi penting bagi mengeratkan lagi hubungan dengan pelanggan ketika era digital masa kini," ujarnya. - DagangNews.com