Purata harga pangsapuri baharu cecah RM583,000, Kuala Lumpur kini negeri hartanah termahal - Juwai IQI | DagangNews Skip to main content

Purata harga pangsapuri baharu cecah RM583,000, Kuala Lumpur kini negeri hartanah termahal - Juwai IQI

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 April - Kuala Lumpur muncul sebagai negeri yang memiliki hartanah termahal di Malaysia dengan purata harga pangsapuri baharu mencecah RM582,887 seunit melepasi harga purata nasional.

 

Pengasas Bersama Juwai IQI dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kashif Ansari berkata, harga purata itu adalah lebih tinggi berbanding harga rumah Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) pada 2023 iaitu RM467,144 dan perbezaan itu dipercayai terletak pada campuran hartanah.

 

Beliau berkata, bukan sesuatu yang mengejutkan apabila Kuala Lumpur memiliki hartanah termahal di negara ini kerana harga purata rumah subjualan di negeri itu ialah RM801,557 manakala harga rumah baharu adalah lebih mampu milik iaitu sekitar RM708,462. 

 

"Antara negeri dengan rumah subjualan yang tinggi selepas Kuala Lumpur ialah Sarawak, Sabah dan Johor. Tiga negeri dengan harga jualan rumah baharu termahal adalah Johor, Sabah dan Kedah.

 

"Terengganu adalah negeri paling murah untuk rumah subjualan, dengan harga purata RM293,714, diikuti Perak, Kedah, dan Pahang.

 

juwai
Kashif Ansari

 

"Pada suku pertama, Melaka merupakan negeri paling murah untuk unit baharu. Harga purata unit rumah baharu di Melaka ialah RM305,463 diikuti Pahang, Perak dan Kelantan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kashif berkata, kebanyakan pembelian adalah dalam julat yang lebih rendah dengan separuh daripada pembeli unit baharu membayar RM500,000 atau kurang daripada itu pada suku pertama dan hanya satu perempat membayar lebih RM750,000 untuk kediaman baharu. 

 

Beliau berkata, bagi pasaran rumah subjualan, juga berlaku situasi sama dengan lebih separuh berbelanja RM500,000 ke bawah 

 

"Ini bermakna, pasaran membekalkan banyak perumahan untuk golongan berpendapatan sederhana dan rendah. Pasaran adalah seimbang, dengan bekalan mencukupi dan memenuhi keperluan pembeli pada semua titik harga," katanya.

 

Beliau berkata, menurut Bank Negara Malaysia (BNM), kadar faedah purata bagi pinjaman perumahan baharu ialah 4.2% dan pembeli perlu membayar ansuran hulanan sekitar RM1,228 sekiranya membayar RM30,000 untuk kediaman berharga RM300,000.

 

"Ini menjadikan pembelian rumah mampu milik adalah lebih murah berbanding menyewa dengan mereka perlu membayar sekitar RM1,975 sebulan," katanya.- DagangNews.com