KUALA LUMPUR 6 Nov - Stellantis sedang menilai potensi kilang di Gurun, Kedah untuk dijadikan sebagai hab pembuatan serantau untuk mengeluarkan kenderaan berasaskan bateri (BEV) bagi pasaran domestik dan eksport di ASEAN.
Stellantis merupakan antara pengeluar kereta terbesar dunia dengan 14 jenama ikonik termasuk Peugeot, Citroën, Ram, Maserati, Alfa Romeo, Jeep dan lain-lain.
Stellantis dalam satu kenyataan media hari ini berkata kilang terbabit kini mengeluarkan model utama Peugeot termasuk 2008, 3008 dan 5008 yang diedarkan ke pasaran di rantau ini termasuk Malaysia, Filipina, Thailand dan Kemboja.
Syarikat itu telah memperoleh semua kepentingan pemilikan kilang di Gurun, Kedah dan menubuhkan Ibu Pejabat Wilayah India serta Asia Pasifik di Kuala Lumpur, iaitu sebagai sebahagian daripada pelan hala tujunya 'Built in ASEAN for ASEAN'.
Di samping itu, Stellantis merancang untuk mewujudkan produk mobiliti baharu di rantau ASEAN, salah satu daripada tiga pasaran utamanya, termasuk berhasrat menerajui peralihan kepada elektrifikasi.
Pembuat kereta itu menyasarkan untuk mewujudkan platform STLA Medium ke rantau ASEAN yang telah diperkenalkan secara global pada Jun 2023.
STLA Medium merupakan platform global ‘BEV-by-design’ dengan ciri canggih termasuk menawarkan jarak perjalanan 700 kilometer, kecekapan tenaga, kuasa terbaik dan kuasa pengecasan.
“Selaras dengan komitmen terhadap kelestarian jangka panjang dan sasaran untuk mencapai strategi Dare Forward 2030, Stellantis melabur lebih RM2 bilion (€400 juta) untuk memperkenalkan platform STLA Medium.
"Platform itu membolehkan Stellantis menghasilkan kenderaan pelbagai tenaga (BEV, ICE, MHEV) di ASEAN untuk ASEAN yang mampu mewujudkan peluang penyumberan bagi pembekal dan pengilang tempatan melebihi RM5 bilion (€990 juta) dalam tempoh empat tahun akan datang," katanya.
Ketua Pegawai Operasi dan Pengedar Am Stellantis bagi ASEAN, Daniel Gonzalez berkata, pelan pertumbuhan dan pengembangan ASEAN Stellantis adalah sejajar dengan komitmen global syarikat untuk mencapai pengeluaran karbon sifar bersih menjelang 2038 dengan mengurangkan kesan kepada alam sekitar dan menggalakkan kelestarian.

"Sebahagian besar rancangan ASEAN kami tertumpu kepada inovasi yang membabitkan peralihan kepada elektrifikasi dan teknologi. Ini akan meletakkan Stellantis di barisan hadapan dalam era baharu penyelesaian mobiliti.
“Potensi EV sangat besar di ASEAN dan kami mahu menerajui pengembangan elektrifikasi di rantau ini. Kami mahu menghasilkan EV di ASEAN, serta melibatkan pembangunan dan kejuruteraan kenderaan yang disesuaikan dengan keperluan khusus pengguna tempatan di rantau ini," katanya.
Pembuat kereta itu menyasarkan untuk memiliki lebih 75 BEV dan meraih jualan tahunan BEV global sebanyak lima juta kenderaan menjelang 2030. - DagangNews.com








