Situasi lebihan bekalan dalam sektor sarung tangan getah dijangka berlarutan lagi 2 tahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Situasi lebihan bekalan dalam sektor sarung tangan getah dijangka berlarutan lagi 2 tahun

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 19 Okt - Industri sarung tangan getah dijangka berdepan situasi lebihan bekalan dalam tempoh satu hingga dua tahun lagi sebelum ia mereda dan pendapatan syarikat pengeluar kembali ke paras sebelum pandemik COVID-19.

 

Penganalisis CGS-CIM Research, Walter Aw berkata, kebanyakan pengeluar sarung tangan getah di seluruh dunia telah memperlahankan pelan pengembangan dengan ketara, memandangkan dinamik industri diterajui bekalan dengan permintaan lemah dan bekalan yang banyak semasa tempoh wabak sekitar 2022 hingga 2021.

 

Menurutnya, semakan dengan syarikat pengeluar mendapati permintaan terus lemah manakala pesanan tidak meningkat di sebalik kemunculan varian baharu COVID-19.

 

"Malah, kadar penggunaan mereka juga kekal rendah sekitar 50% hingga 55%. Kos masih kekal tinggi dan kenaikan harga jualan purata (ASP) sukar dilaksanakan memandangkan dinamik industri yang diterajui bekalan semasa.

 

"Kami menjangkakan ASP akan kembali stabil pada AS$20 hingga AS$21 per 1,000 keping (di bawah paras sebelum pandemik) dengan pemulihan perlahan dijangka dalam tempoh tiga hingga enam bulan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Firma itu mendapati syarikat pengeluar sarung tangan getah di bawah liputannya iaitu Supermax Corp. Bhd., Kossan Rubber Industries Bhd., Hartalega Holdings Bhd. dan Top Glove Corp. Bhd. telah meningkat antara 9.3% hingga 29.3% sejak tujuh hari lalu. 

 

Kenaikan itu bagaimanapun tidak membawa perubahan asas kepada sektor, tetapi beberapa faktor positif mungkin merangsang penarafan semula.

 

Ini terutamanya disebabkan kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (lebih 90% eksport sarung tangan getah adalah dalam mata wang asing) dan kemunculan varian baharu COVID-19 di seluruh dunia. 

 

 

supermax

 

 

Aw berkata, berdasarkan kepada situasi semasa sektor tersebut, pelabur sepatutnya mengambil peluang membuat keuntungan daripada saham sarung tangan getah terutamanya Supermax dan Top Glove.

 

Katanya, hasil kedua-dua syarikat ini tidak melemah berasaskan suku ke suku, tetapi kami menjangkakan ia akan merekodkan kerugian pada suku ketiga dan keempat.

 

"Sebaliknya, harga saham Hartalega berlegar di bawah harga sasaran kami (pada RM2.30). Namun, kami menjangkakan akan terdapat risiko penurunan terhadap Hartalega dan Kossan sekiranya ASP tidak kembali pulih," jelasnya. 

 

Buat masa ini, ASP sarung tangan getah berlegar pada AS$21 per 1,000 keping berbanding anggaran semasa bagi separuh kedua 2022 hingga separuh pertama 2023 antara AS$23 hingga AS$24. 

 

Dari sudut positif, beliau mendapati kesemua syarikat sarung tangan getah mempunyai kekuatan kedudukan tunai bersih antara RM600 juta hingga RM2.8 bilion, yang boleh menyokong aliran tunai dalam tempoh jangka panjang.

 

Di samping itu, syarikat sarung tangan juga telah memperlahankan pengembangan kapasiti dan rancangan perbelanjaan modal mereka, sekali gus membantu mengekalkan kedudukan tunai. 

 

"Supermax mempunyai kedudukan tunai bersih tertinggi dalam kalangan pemain industri sebanyak RM2.8 bilion (setakat akhir suku kedua 2022), tetapi ia juga telah memperuntukkan RM1.6 bilion daripada ini untuk loji sarung tangan di Amerika Syarikat (kami jangka ia siap pada separuh kedua FY23).

 

Secara keseluruhan, CGS-CIMB mengekalkan pandangan 'underweight' terhadap sektor sarung tangan getah dengan memberi saranan 'kurang' terhadap Supermax, Top Glove dan Hartalega pada harga sasaran masing-masing sebanyak 50 sen, 50 sen dan RM2.30 sesaham. Hanya Kossan sahaja diberi saranan 'pegang' dengan harga sasaran pada RM1.30 sesaham. - DagangNews.com