KUALA LUMPUR 15 Feb - Siti Khadijah mengumumkan kerjasama eksklusif bersama platform ‘beli sekarang, bayar kemudian’ (BNPL) tempatan, MOBY Islamic yang dahulunya dikenali sebagai AiraPay.
Kerjasama itu akan memberi pilihan pembayaran BNPL patuh syariah pertama Malaysia kepada pelanggan secara dalam talian dan juga di semua butik Siti Khadijah dalam negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Siti Khadijah, Mohammad Munzir Aminuddin berkata, pihaknya tidak mahu membebankan pelanggan untuk mendapatkan telekung yang berkualiti dan selesa untuk dipakai.
Katanya, kerjasama antara MOBY Islamic dan Siti Khadijah adalah satu langkah untuk memastikan visi ini terus kukuh, khususnya kerana MOBY Islamic menerapkan asas dalam konsep pinjaman yang patuh syariah.
"Kini, pelanggan Siti Khadijah boleh menikmati pelan ansuran bulanan sehingga enam bulan untuk pembelian dalam talian mereka.
"Bagaimanapun, tidak lama lagi pelanggan juga akan dapat menikmati kemudahan ini untuk pembelian secara fizikal di butik juga.
"Sebagai satu-satunya platform patuh syariah, ansuran pembayaran pecahan fleksibel MOBY Islamic adalah tanpa faedah dan berdasarkan kontrak Qard," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohammad Munzir berkata, pihaknya berharap dapat menjadikan pengalaman membeli-belah dengan Siti Khadijah suatu pengalaman unik dengan adanya kemudahan pembayaran fleksibel.
"Walaupun kami fokus dalam mengembangkan jenama, kami tetap komited kepada matlamat utama kami dengan membolehkan wanita Islam membeli pakaian untuk solat yang berkualiti dengan lebih mudah tanpa membebankan wang," katanya.
Sebagai tanda penghargaan kepada pelanggannya, Siti Khadijah menawarkan diskaun eksklusif kepada pengguna MOBY baharu dengan potongan harga RM50 menerusi pembelian minimum RM500 atau diskaun RM25 untuk pembelian minimum RM250.
Kedua-dua tawaran terhad kepada 250 pengguna pertama, dan diskaun tersebut boleh digunakan mulai 15 Februari sehingga 28 Februari 2023 oleh pengguna MOBY yang berdaftar.
Siti Khadijah telah berkembang daripada sebuah perniagaan kecil kepada perniagaan yang dikenali serantau, dengan platform dalam talian yang berkembang pesat dan juga 45 butik di seluruh Malaysia serta dua di Indonesia. - DagangNews.com








