Sheikh Farouk dilantik sebagai Pengarah Urusan Aeon Big baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sheikh Farouk dilantik sebagai Pengarah Urusan Aeon Big baharu

Sheikh Farouk Sheikh Mohamed
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 5 Julai - Aeon Big (M) Sdn Bhd (Aeon Big) mengumumkan Sheikh Farouk Sheikh Mohamed yang sebelum ini Ketua Aeon Big dilantik sebagai Pengarah Urusannya berkuat kuasa pada 1 Julai 2022.

 

Dengan tanggungjawab penuh terhadap kepimpinan dan pembangunan Aeon Big, Sheikh Farouk akan memainkan peranan penting dalam memenuhi matlamat pertumbuhan syarikat dalam menjadi hypermarket yang menawarkan pelbagai pilihan dengan nilai yang hebat.

 

Sheikh Farouk, 44, mempunyai pengalaman selama 22 tahun dalam peruncitan, makanan dan minuman serta sektor perbankan selama 10 tahun di luar negara termasuk Switzerland, Filipina dan Singapura.

 

Beliau pertama kali menyertai Aeon Big pada tahun 2021 sebagai Ketua Aeon Big dan dalam tempoh singkat ini, berjaya memacu syarikat dalam perjalanan transformasi digitalnya termasuk pelbagai inisiatif dan kerjasama dengan kerajaan dan organisasi bukan kerajaan dalam mencapai sasaran.

 

Semasa musim pandemik, beliau telah memulakan pelbagai program dalam memenuhi keperluan Ekosistem Aeon Big seperti mewujudkan Aeon Midtown Falim Shopping Centre di Ipoh, Perak.

 

Ia sebagai pusat pertama bagi Program Vaksinasi Industri Runcit (RiVAC) untuk pekerja runcit di Ipoh, termasuk menyertai ‘Kad Prabayar Prihatin Penjaja dan Peniaga Malaysia’ serta aplikasi IN2NIAGA untuk penjaja dan peniaga kecil di Malaysia dan kempen ‘Jimat Poket’.

 

Sebelum menyertai Aeon Big, beliau telah berkhidmat dengan kumpulan syarikat Nestle selama 18 tahun sebagai profesional kewangan dengan pendedahan antarabangsa di Singapura, Filipina dan Switzerland. 

 

Beliau juga merupakan akauntan bertauliah dari CIMA United Kingdom dan berdaftar sebagai ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA).

 

Aeon Big (M) Sdn Bhd kini mengendalikan 21 pasar raya besar di bawah nama dagangan 'Aeon Big' dengan lebih 2300 pekerja di Malaysia. Ia menawarkan pelbagai pilihan dengan nilai yang tinggi. 

 

Pengambilalihan itu adalah sebahagian daripada rancangan kumpulan Aeon untuk mengembangkan perniagaan di Asia Tenggara dan mengembangkan lagi operasi ASEAN mereka. - DagangNews.com