Setelah tertunda LIMA'23 disasar jadi edisi penganjuran terhebat  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Setelah tertunda LIMA'23 disasar jadi edisi penganjuran terhebat 

LIMA'23 mensasarkan untuk menjadi edisi yang terbaik berbanding penganjuran terdahulu
Oleh ZAKI SALLEH 

KUALA LUMPUR 9 Jan - Setelah satu edisi tertangguh, Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA'23) pada Mei ini merupakan penganjuran yang dinanti-nantikan.

 

Dengan landskap pentadbiran kerajaan yang baharu, sudah pasti pihak-pihak terlibat pada peringkat kementerian akan berusaha sehabis baik untuk menjayakan edisi kali ini.

 

LIMA'23 membabitkan dua kementerian besar iaitu Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) manakala Alpine Integrated Solution Sdn. Bhd. selaku penganjur.

 

Tarikan utama ialah sekitar 110 pesawat tentera dan komersial dijangka terlibat pada pameran kali ini selain 100 kapal-kapal perang dan kapal awam.

 

LIMA kali terakhir dianjurkan pada 2019 sebelum ditunda pada 2021 ekoran negara dilanda pandemik COVID-19.

 

Sebagai sebuah pameran bertaraf antarabangsa khusus bagi industri pertahanan dan keselamatan melibatkan aeroangkasa serta maritim, LIMA sentiasa relevan.

 

Bagi edisi LIMA ke-16 ini, ia dijangka berlangsung pada 23 hingga 27 Mei dengan penyertaan lebih 600 syarikat pempamer daripada industri pertahanan tempatan dan antarabangsa.

 

 

LIMA
Pertunjukan udara menjadi acara yang dinanti-nantikan pada setiap kali penganjuran LIMA

 

 

Daripada jumlah itu, dikatakan 80 peratus sudah menyatakan komitmen untuk menyertai pameran berkenaan.

 

LIMA'23 kali ini juga dijangka menarik kehadiran lebih 50,000 delegasi dari dalam dan luar negara.

 

Dua hari terakhir pameran pula akan dibuka kepada pengunjung awam yang mana pada edisi 2019 ia menerima 240,000 pelawat.

 

 

LIMA
Penyertaan firma asing menunjukkan LIMA sentiasa relevan sebagai pameran pertahanan berstatus antarabangsa

 

 

Sejak pertama kali dianjurkan pada 1991 secara terhad, LIMA telah melalui transformasi panjang dan sedikit demi sedikit membantu pembangunan industri pertahanan negara.

 

Walaupun kemajuan industri ini kecil tetapi ia tetap memberi sumbangan besar dalam bidang penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta pembuatan dalam industri aeroangkasa dan pertahanan.

 

Selain itu, LIMA juga merupakan destinasi membeli-belah pertahanan khususnya dalam memberi bayangan tentang apa yang sedang dirancang oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

 

LIMA
Lebih 110 pesawat pesawat tentera dan komersial akan terlibat pada pameran kali ini

 

 

Sebab itu antara kayu pengukur penganjuran LIMA ialah pada nilai ekonomi yang diterjemahkan menerusi perolehan atau sebarang kontrak yang ditandatangani.

 

Lebih RM4 bilion nilai kontrak antara kerajaan dan syarikat berkaitan pertahanan ditandatangani pada LIMA’19 termasuk memorandum persefahaman (MoU), surat niat (LOI) dan surat setuju terima (LOA).

 

Kebanyakan bagi menguruskan aset sedia ada milik ATM terutama bagi kerja MRO pesawat dan kapal.

 

Sehingga kini LIMA'19 adalah yang paling ramai dikunjungi dengan 42,030 delegasi perdagangan dari 63 negara membabitkan 406 pempamer.

 

 

LIMA

 

 

Angka ini mengatasi pencapaian LIMA 2017 yang menyaksikan 40,000 pelawat perdagangan dari 38 negara membabitkan 550 pempamer dan syarikat antarabangsa.

 

Pada LIMA 2017, nilai kontrak perolehan yang ditandatangani pula sebanyak RM3.8 bilion termasuk MoU, LOI dan LOA.

 

Angka tertinggi pula dicapai semasa LIMA 2015 yang menyaksikan sejumlah RM9.3 bilion kontrak, MoU, LOA dan LOI ditandatangani iaitu lebih tinggi berbanding edisi LIMA sebelum itu yang merekodkan nilai RM4.2 bilion.

 

Berdasarkan bayangan pada beberapa rancangan perolehan yang telah ditetapkan oleh Mindef, maka kebarangkalian ada kontrak besar yang akan dimeterai pada LIMA'23.

 

Sekurang-kurangnya sebahagian daripada jangkaan peruntukan kerajaan kepada Mindef pada tahun ini iaitu sebanyak RM17.4 bilion akan dibelanjakan.

 

Antara aset yang menjadi fokus ialah perolehan Littoral Mission Ship (LMS) kumpulan kedua untuk Tentera Laut Diraja Malaysia.

 

Mungkin perbelanjaan ATM tidak berapa mewah berbanding negara serantau lain tetapi ia masih satu kontrak yang menguntungkan kepada mana-mana syarikat yang terpilih. - DagangNews.com