KUALA LUMPUR 12 Mei - Sentral REIT Management Sdn. Bhd., pengurus dana pelaburan hartanah, Sentral REIT merekodkan pendapatan bersih direalisasikan sebanyak RM20.4 juta pada suku pertama 2022.
Bagaimanapun, ia merupakan penurunan kecil kira-kira 1.6% daripada pendapatan bersih direalisasikan sebanyak RM20.7 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Penurunan ini disebabkan terutamanya oleh hasil realisasi yang lebih rendah setelah ditolak perbelanjaan hartanah dan kos kewangan yang lebih rendah.
Ia menyaksikan Sentral REIT merekodkan pendapatan seunit direalisasi (EPU) dan pendapatan boleh agih seunit sebanyak 1.90 sen iaitu kira-kira 1.6% lebih rendah daripada EPU dan pendapatan boleh agih seunit sebanyak 1.93 sen yang dicatatkan pada suku pertama 2021.
Pengerusi Sentral REIT Management, Tan Sri Saw Choo Boon berkata, pergerakan beransur-ansur ke fasa endemik dijangka menjadi petanda baik untuk pasaran pejabat di Lembah Klang.
"Walaupun kami mungkin masih mengalami beberapa ketidaktentuan dalam pendapatan, kami tetap optimis operasi Sentral REIT akan dapat mengharungi ketidaktentuan pasaran dari semasa ke semasa.
"Kami akan terus memberi tumpuan kepada pengekalan penyewa untuk mengekalkan penghunian yang stabil dan purata wajaran tamat tempoh pajakan (WALE) di bawah portfolio aset Sentral REIT," katanya.
Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Derek Teh Wan Wei, Sentral REIT mempunyai kira-kira 511,000 kaki persegi atau 28% daripada jumlah kawasan boleh disewa bersih komitednya yang perlu diperbaharui pada 2022, dengan 5% daripada pajakan ini perlu dibayar pada suku pertama 2022.
Katanya, sejajar dengan itu, kadar penghunian purata Sentral REIT setakat 31 Mac 2022 adalah lebih rendah pada 86%.
"Rundingan sedang berjalan seperti yang dijadualkan untuk pajakan yang perlu dibayar pada suku kedua dan ketiga 2022, masing-masing mewakili 27% dan 28% daripada jumlah pajakan yang perlu diperbaharui pada tahun ini," jelasnya. - DagangNews.com








