Sempadan darat Malaysia-Singapura dibuka 1 April 2022, tanpa kuarantin dan ujian saringan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sempadan darat Malaysia-Singapura dibuka 1 April 2022, tanpa kuarantin dan ujian saringan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 24 Mac - Malaysia dan Singapura membenarkan semua pengembara yang telah lengkap vaksinasi untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian COVID-19, termasuk ujian pra-pelepasan dan semasa ketibaan, bermula 1 April 2022.

 

Perkara itu diumumkan dalam kenyataan media bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong, hari ini.

 

Ismail Sabri berkata, Malaysia akan membuka sempadan kepada pengembara antarabangsa bermula 1 April 2022, dan seterusnya melakar satu lagi kejayaan penting dalam memudahcara perjalanan rentas sempadan dengan jiran terdekat, Singapura. 

 

“Pengumuman hari ini mencerminkan hubungan baik, kerjasama pelbagai aspek, dan hubungan kukuh antara rakyat kedua-dua buah negara. Ini pastinya akan menyumbang kepada usaha-usaha pemulihan dengan impak positif ke atas ekonomi dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara,” katanya.

 

Hsien Loong pula berkata, Singapura dan Malaysia menikmati hubungan yang mendalam, mesra dalam pelbagai aspek, serta hubungan antara rakyat yang kukuh. 

 

“Pengumuman hari ini merupakan peristiwa penting dalam peralihan kita ke arah kehidupan dengan COVID-19. Ia mencerminkan kerjasama kukuh yang dinikmati kededua pihak sepanjang pandemik ini dan akan membantu kededua negara muncul lebih kuat daripada krisis ini," katanya.

 

 

pms
Lee Hsien Loong menerima panggilan telefon daripada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung pembukaan sempadan kedua-dua negara terbabit.

 

 

Terdahulu, Ismail Sabri telah mengadakan panggilan telefon bersama Hsien Loong, hari ini.

 

Kedua-dua Perdana Menteri mengakui bahawa Malaysia dan Singapura telah menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan khususnya dalam pelaksanaan program vaksinasi dan pengurusan pandemik COVID-19 bagi penduduk negara masing-masing.

 

Ismail Sabri dan Hsien Loong turut mengambil maklum atas kemajuan yang telah dicapai dalam meneruskan perjalanan rentas sempadan melalui Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (Udara) dan (Darat). 

 

Sejajar dengan peralihan kehidupan fasa mendepani pandemik COVID-19, kedua-dua pemimpin telah bersetuju bahawa sudah tiba masanya untuk membuka sempadan darat kedua-dua negara bagi pengembara yang telah lengkap vaksinasi. - DagangNews.com