Selgate perkenal perkhidmatan penjagaan kesihatan dalam talian selcare.com | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Selgate perkenal perkhidmatan penjagaan kesihatan dalam talian selcare.com

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Sept - Selgate Healthcare, anak syarikat penjagaan kesihatan Selgate Corporation memperkenalkan selcare.com, sebuah platform dalam talian yang baharu dan ditambah baik, direka untuk memberikan pengguna akses mudah alih kepada perkhidmatan kesihatan secara maya di hujung jari. 

 

Selcare.com menghimpunkan rangkaian komprehensif perkhidmatan penjagaan kesihatan, menghubungkan pesakit dengan pakar kesihatan profesional untuk memberikan pengalaman lancar kepada pesakit dan pengguna.

 

Dalam era yang mana kemudahan dan kebolehcapaian menjadi keutamaan, penjenamaan selcare.com berdiri sebagai mercu tanda inovasi, menawarkan pelbagai perkhidmatan yang bersesuaian bagi memastikan kesejahteraan masyarakat. 

 

Daripada penjagaan kejururawatan kepada pembelian ubatan di farmasi, platform tersebut dikhususkan untuk menyediakan perjalanan penjagaan kesihatan yang holistik dan mesra pengguna.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Selgate Healthcare, Dr Muaz Omar berkata, misi pihaknya adalah menjadikan penjagaan kesihatan mudah diakses, cekap dan mengutamakan pesakit.

 

"Kami memahami cabaran yang dihadapi individu dalam menguruskan kesihatan mereka, dan platform kami direka untuk memudahkan keseluruhan proses. Dengan selcare.com, masyarakat kini boleh menjaga kesejahteraan mereka tanpa menjejaskan kualiti," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Selain itu, perkhidmatan selcare.com kini boleh didapati di aplikasi super Selangkah. Dengan menyepadukan perkhidmatan penjagaan kesihatan komprehensif ke dalam aplikasi itu, kini pengguna dapat mengakses sumber penjagaan kesihatan berkualiti tinggi pada satu platform dengan lebih mudah.

 

 

selcare

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Selangkah Ventures Sdn Bhd, Tengku Iesta Tengku Alaudin pula berkata, pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan jenama Selcare dan mengintegrasikan perkhidmatan penjagaan kesihatan komprehensif mereka ke dalam aplikasi Selangkah. 

 

"Integrasi ini sejajar dengan misi kami untuk menyediakan pengalaman kesihatan yang mudah dan terbaik kepada pengguna, memastikan kesihatan dan kesejahteraan mereka terus terjaga. 

 

 

selcare

 

 

"Bersama-sama, kami membawa masa depan penjagaan kesihatan ke hujung jari para pengguna kami," katanya. - DagangNews.com