Tuan/ Puan pembaca yang dihormati sekalian,
Kita sambut tahun baru 2022 dengan kewaspadaan kerana pandemik belum berakhir atau lebih tepat, kekal selamanya bersama kita, sehinggalah saintis dunia menemukan antidot yang cukup mujarab untuk menghapuskan virus ini.
Kerana kewaspadaan ini merangkumi soal keselamatan dan kesihatan daripada jangkitan, tetapi juga impak berlanjutan terhadap ekonomi negara. Waspadalah bila berbelanja. Jangan boros. Jangan pula tidak berbelanja langsung. Susah juga macam tu.
Di pihak Sidang Editorial Dagang News ini, ingin kami beri jaminan dan komitmen untuk terus menyampaikan berita perniagaan yang anda mahukan dan penting kepada negara.
Sejak bermula 1 Julai 2020 (semasa PKP 1.0), banyak pengalaman telah dilalui semasa berusaha membina jenama dan keyakinan orang ramai terhadap keupayaan dan kesungguhan kami sebagai platform media bonafide.
Dengan janji untuk terus fokus kepada kewartawanan, kami akan sajikan berita berkualiti bukan sahaja daripada pasukan wartawan kami tetapi juga barisan kolumnis kami.
Kolaborasi Dagang News dengan Astro Awani yang diumumkan pada 1 Disember 2021, akan menjadi pemangkin besar kepada usaha kami mencapai sasaran KPI untuk tahun 2022. Ini ikrar kami.
Terima kasih kepada anda semua yang telah memberi sokongan, kepercayaan dalam segala bentuk, malah kritikan. Semuanya kami terima dan hargai, kerana memahami bahawa perjalanan untuk meneguhkan jenama adalah jauh dan berliku. Tetapi tidak mustahil. Insya-Allah.
Terima kasih.
Sidang Editorial Dagang News
31 Disember 2021 - 8 malam








