Sektor perbankan dijangka terus raih manfaat daripada pemulihan ekonomi - Penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor perbankan dijangka terus raih manfaat daripada pemulihan ekonomi - Penganalisis

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 4 Feb - Sektor perbankan dilihat akan terus meraih manfaat daripada pemulihan ekonomi sekali gus memperkukuhkan pertumbuhan dalam sektor tersebut. 

 

Ini membolehkan penganalisis Kenanga Research, Clement Chua berkata, mengunjurkan pertumbuhan pinjaman dan deposit sekitar 5 hingga 5.5%, sejajar unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 5.5 hingga 6%.

 

Katanya, unjuran itu dilihat munasabah memandangkan momentum semasa yang ditunjukkan oleh aktiviti ekonomi yang berterusan dan juga jangkaan kenaikan 2 kali kadar dasar semalaman (OPR) pada separuh kedua 2022.

 

"Bagaimanapun, sentimen keseluruhan mungkin lemah dalam tempoh terdekat kerana faktor makro masih boleh mencetuskan ketidaktentuan.

 

"Tambahan pula, pelaksanaan sekali sahaja Cukai Makmur pada tahun ini dijangka menjejaskan pertumbuhan pendapatan keseluruhan dan ganjaran dividen kepada pelabur untuk tahun terdekat," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor perbankan setelah mencatatkan prestasi yang kukuh pada Disember 2021 dengan pertumbuhan pinjaman berada dalam jangkaannya sekitar 4.5 hingga 5%.

 

Ia memilih saham Alliance Bank Malaysia Bhd. dan RHB Bank Bhd. sebagai pilihan utama bagi sektor tersebut dengan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) masing-masing pada RM3.65 dan RM6.50. 

 

Dalam laporan perkembangan monetari dan kewangan bagi Disember 2021 yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) Isnin lalu, ia menyaksikan pertumbuhan pembiayaan bersih meningkat kepada 4.8% berbanding November, 4.5%).

 

Peningkatan itu mencerminkan pertumbuhan yang lebih tinggi dalam pinjaman terkumpul pada Disember iaitu 4.5% berbanding November, 4.3% dan bon korporat terkumpul (Disember: 5.5%; November: 4.9%).

 

Pertumbuhan pinjaman isi rumah terus meningkat kepada 4.3% pada bulan tersebut berbanding November, 4.1% berikutan pengeluaran pinjaman yang lebih tinggi merentas kebanyakan tujuan pinjaman.

 

Bagi sektor perniagaan, pertumbuhan pinjaman terkumpul pada Disember meningkat kepada 5% berbanding 4.8% pada November disokong oleh pertumbuhan pinjaman modal kerja yang tinggi (Disember: 7.4%; November: 8.0%; purata 2017-2019: 4.3%).  

 

Sementara itu, penganalisis CGS-CIMB, Winson ng berkata, pertumbuhan pinjaman yang lebih baik berbanding jangkaan dan nilai kasar pinjaman yang terpaksa dilaraskan bank (GIL) pada 2021 mencerminkan prospek positif bagi sektor perbankan.

 

"Ini menyokong jangkaan pemulihan berterusan kami dalam pertumbuhan pendapatan, dengan unjuran pertumbuhan keuntungan bersih teras kami sebanyak 2.3% pada tahun kewangan 2022 (FY22) dan 17.7% bagi FY23," katanya.

 

Ia mengekalkan pandangan 'overweight' bagi sektor perbankan dengan pilihan utamanya ialah saham 
Hong Leong Bank Bhd., Public Bank Bhd. dan RHB Bank dengan saranan 'tambah' pada TP masing-masing RM20.56, RM4.60 dan RM6.40.

 

Menurut MIDF Research pula, kadar faedah dijangka meningkat selepas tamatnya moratorium, yang kesannya akan dirasai pada suku kedua 2022.

 

"Namun, kami percaya risiko kredit telah dinilai dengan sewajarnya oleh pasaran. Di samping itu, langkah ke hadapan dan inisiatif kerajaan berkemungkinan menjadikan sebarang bentuk kemerosotan aset kekal terurus," jelasnya. 

 

Firma itu mengekalkan pandangan 'positif' terhadap sektor perbankan didorong margin faedah bersih (NIM), pertumbuhan pinjaman yang kukuh dan kemungkinan pengambilan untung pada separuh kedua 2022.

 

Saham pilihannya bagi sektor itu ialah Maybank dan Public Bank Bhd. dengan saranan 'beli' pada TP masing-masing RM8.90 dan RM5.10.

 

Dalam pada itu, mengenai lesen perbankan digital yang akan diumumkan BNM pada suku pertama ini, MIDF Research menjangkakan berlakunya kenaikan kos dari segi teknologi maklumat daripada bank memandangkan industri akan meneroka peluang dalam segmen tersebut. - DagangNews.com