Saranan 'Beli' saham CIMB dikekalkan selepas untung bersih CIMB Niaga meningkat - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Saranan 'Beli' saham CIMB dikekalkan selepas untung bersih CIMB Niaga meningkat - Maybank IB

Digital Lounge CIMB Niaga di pusat beli-belah Central Park Jakarta.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 2 Mei - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengekalkan saranan 'Beli' saham Kumpulan CIMB dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM7.40 sesaham selepas CIMB Niaga melaporkan peningkatan untung bersih bagi suku pertama 2024.

 

Kumpulan CIMB merupakan pemegang saham majoriti PT CIMB Niaga.

 

Menurut Maybank IB, untung bersih 1Q24 CIMB Niaga meningkat 6% YoY dan 7% QoQ kepada IDR1.68 trilion (RM49.4 juta), mewakili 24% daripada ramalan setahun penuh yang seperti dalam jangkaan.

 

"Walaupun margin untung bersih (NIM) lebih rendah daripada jangkaan, ini telah diimbangi oleh kos kredit yang jauh lebih rendah dan dijangka dapat dikekalkan.

 

"Pada asas YoY, keuntungan operasi merosot 4% disebabkan oleh NIM dan NOII yang lebih rendah, tetapi diimbangi oleh overhed dan kos rosot nilai yang lebih rendah," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut Maybank IB, kenaikan kadar dasar 25 mata asas oleh Bank Indonesia baru-baru ini dijangka memberi kesan neutral atau sedikit negatif  kepada NIM CIMB Niaga. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: CIMB Group umum pembayaran dividen sebanyak RM4.59 bilion bagi FY23

 

"Walau bagaimanapun, secara positif, tumpuan CIMB Niaga pada pertumbuhan akaun simpanan akaun semasa (CASA) telah membolehkan CASA bank berkembang pada kadar yang lebih pantas daripada industri, memberikan beberapa penampan kepada margin.

 

"Pengurusan menjangka NIM akan berada dalam aliran antara 4.2-4.4% untuk tahun ini, berbanding 4.2% pada 1Q24," jelasnya.

 

Sementara itu, kata Maybank IB, nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) QoQ adalah stabil pada 2.1% akhir Mac 2024 berbanding 2.0% akhir Disember 2023 dan pengurusan menyasarkan nisbah GIL <2% untuk tahun tersebut.

 

Jelas firma penyelidikan itu, pada FY23, kos kredit Niaga mencecah paras terendah 10 tahun sebanyak 1.0% dan lebih rendah pada 0.8% pada 1Q24. Perlindungan kerugian pinjaman ialah 113.5% pada akhir Mac 2024.- DagangNews.com