Santan lancar menu baharu kopi istimewa, Nasi Lemak Pak Nasser berasaskan tumbuhan dalam penerbangan AirAsia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Santan lancar menu baharu kopi istimewa, Nasi Lemak Pak Nasser berasaskan tumbuhan dalam penerbangan AirAsia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 Julai - Santan terus meningkatkan pengalaman menjamu selera dalam penerbangan AirAsia dengan melancarkan menu baharu seperti kopi istimewa melalui teknologi kering-beku pertama seumpamanya dan Nasi Lemak Pak Nasser berasaskan tumbuhan.

 

AirAsia berkata, para penumpang kini boleh menikmati kopi unik di dalam penerbangan mereka dengan Santan 92' Signature Blend dihasilkan oleh juara pemanggang Santan yang telah memperoleh penarafan 92 mata yang mengagumkan daripada Coffee Review, halaman Panduan Kopi Terkemuka di Dunia.

 

Katanya, bukan sekadar kopi biasa, Santan 92' Signature Blend telah diinovasikan dengan teknologi SuperCooling Santan tersendiri untuk mengekalkan rasa dan aroma yang luar biasa. 

 

"Bebas daripada sebarang pengawet tambahan, adunannya mengatasi kopi segera biasa dan pod, menjadikannya minuman sempurna pada sebarang ketinggian dan suhu, sesuai untuk memanaskan badan di dalam kabin sejuk atau sebagai minuman berais yang menyegarkan dalam mana-mana penerbangan.

 

"Kopi istimewa ini juga tersedia sebagai pilihan Americano, Caffe Latte, dan Caffe Mocha dalam semua penerbangan AirAsia dan AirAsia X. 

 

"Biji kopi ini juga diperoleh secara lestari dari Guatemala, Brazil, dan Indonesia, yang bukan sahaja menawarkan kualiti dan rasa yang luar biasa malah sejajar dengan usaha kelestarian syarikat penerbangan itu," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Selaras dengan usaha ini, Santan turut melancarkan pilihan menu berasaskan tumbuhan dengan versi baharu Nasi Lemak Pak Nasser.

 

 

airasia

 

 

Menurut kenyataan itu, hidangan istimewa dengan sentuhan berasaskan tumbuhan ini menampilkan nasi ungu dengan kari vegetarian serta protein berasaskan tumbuhan, terung, kacang buncis dan kentang. 

 

"Ia juga didatangkan dengan sambal bawang, kacang tanah rangup, dan kelapa, untuk menawarkan pilihan menu yang lebih lestari dan lebih hijau kepada para penumpang," katanya.

 

 

airasia

 

 

Sementara itu, Pengurus Besar Santan, Catherine Goh berkata, pihaknya teruja untuk merevolusikan pengalaman menjamu selera dalam penerbangan dengan memperkenalkan Santan 92' Signature Blend, kopi istimewa yang inovatif, dan Nasi Lemak Pak Nasser berasaskan tumbuhan yang menyelerakan. 

 

"Kami telah menghidangkan hampir sejuta cawan kopi dalam setahun secara purata dan kira-kira 29 juta nasi lemak merentasi 130 destinasi AirAsia, dan berharap untuk membolehkan berjuta-juta penumpang AirAsia menikmati biji kopi terbaik dunia di udara di samping memenuhi peningkatan permintaan untuk pilihan menu yang inovatif dan lestari," katanya.

 

 

airasia

 

 

Santan kekal komited untuk menyediakan kualiti tertinggi dengan nilai terbaik. Kopi istimewa dan Nasi Lemak Pak Nasser berasaskan tumbuhan ini dijual pada harga yang berpatutan bermula daripada RM9 secawan dan RM16 untuk hidangan pra-tempahan. 

 

Para penumpang dinasihatkan untuk membuat tempahan awal bagi memastikan ketersediaan dan keutamaan sajian, yang boleh dibuat sehingga empat jam sebelum waktu perlepasan yang dijadualkan. - DagangNews.com