SAMENTA terus komited perjuang nasib lebih sejuta PKS Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SAMENTA terus komited perjuang nasib lebih sejuta PKS Malaysia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Feb - Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) yang menyambut ulang tahun ke-37 pada tahun ini, terus komited untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara dengan memperjuangkan nasib mereka kepada kerajaan dan pihak berkepentingan lain.

 

Pengerusi SAMENTA, Datuk William Ng berkata, pihaknya juga komited untuk menyokong lebih satu juta PKS di negara ini. 

 

Katanya, semasa banjir Disember 2021, pihaknya telah mengaktifkan Pasukan Petugas Pusat (PPP) SAMENTA dan berjaya membantu lebih daripada 200 PKS yang terjejas mendapatkan bantuan daripada pelbagai agensi kerajaan dan berunding dengan pihak bank untuk penstrukturan semula pinjaman. 

 

"Ini amat dihargai oleh PKS yang terjejas, dan oleh itu, kami memastikan PPP ini terus aktif supaya dapat membantu lebih ramai PKS sekiranya bencana serupa berlaku kepada golongan PKS.

 

“Kami akan terus berusaha meningkatkan produktiviti PKS di seluruh negara. Cabaran utama bagi PKS kita bukanlah kekangan kewangan atau masalah buruh, tetapi margin perniagaan yang tipis akibat produktiviti yang rendah. 

 

"Kami bekerjasama rapat dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia untuk membantu meningkatkan produktiviti PKS melalui pendigitalan dan automasi,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru SAMENTA Wilayah Tengah di sini.

 

Terdahulu, lebih 300 tetamu hadir ke majlis rumah terbuka itu, termasuk Timbalan Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi, Saraswathy Kandasami.

 

 

samenta
                                                                  Datuk William Ng

 

 

Sementara itu, Saraswathy turut menzahirkan penghargaan kepada SAMENTA atas usaha mereka dalam menyokong pembangunan PKS.

 

Katanya, sebagai persatuan PKS pertama dan terbesar di negara ini, SAMENTA telah memainkan peranan penting dalam membantu PKS selama ini, memperkasa dan membantu mereka menembusi pasaran global. 

 

 

samenta
                                                                Saraswathy Kandasami

 

 

"Kerajaan berharap untuk terus bekerjasama dengan SAMENTA untuk meningkatkan kapasiti dan keupayaan PKS di Malaysia," katanya.

 

Untuk rekod, SAMENTA ditubuhkan pada 1986 dan mempunyai lebih 3,000 ahli di seluruh negara. - DagangNews.com