KUALA LUMPUR 12 Sept - Sasaran mencapai pertumbuhan ekonomi sekurang-kurangnya 5% setahun sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) adalah realistik namun sedikit bercita-cita tinggi, menurut TA Securities.
Firma penyelidikan tu berkata memandangkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) telah meningkat 5.9% setahun pada 2021-2022, ekonomi Malaysia berada di landasan yang betul untuk berkembang antara 5% dan 5.5% setahun untuk baki RMK12 atau 2023-2025, dipacu oleh permintaan domestik, khususnya perbelanjaan sektor swasta.
Walaupun ekonomi Malaysia diunjur berkembang menghampiri bawah julat 4% hingga 5% pada 2023, firma itu menjangkakan sebanyak 4.2% tahun ini.
“Kami mendapati sasaran ini adalah realistik tetapi sedikit bercita-cita tinggi. Dengan mengandaikan sasaran titik pertengahan sebanyak 4.5% pada 2023, bagi mencapai 5% hingga 5.5% dalam 2023 hingga 2025, KDNK sebenar akan mencecah 5.5% (2024) dan sekurang-kurangnya 6% (2025).
“Ramalan jangka sederhana kami adalah sedikit lebih rendah daripada itu. Walaupun masih terlalu awal, risiko kekal menurun terutamanya dengan kebimbangan utama terhadap kemerosotan pertumbuhan di China dan pembalikan pantas dasar monetari yang diperketat di bank pusat utama seluruh dunia,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
TA Securities berkata kebanyakan agensi pelbagai hala seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia masing-masing sedang menyelaraskan unjuran tahun depan yang lebih rendah.

Menurut firma itu, bagi mencapai matlamat Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) 2021-2025, penekanan akan diberikan kepada sektor dan industri yang bertumbuh tinggi, bernilai tinggi (HGHV), termasuk industri berasaskan peralihan tenaga, yang dilaksanakan melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), industri berasaskan teknologi dan digital, dan meningkatkan daya saing sektor dan industri di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.
“Perlu diketengahkan bahawa penggunaan swasta dijangka meningkat pada kadar purata tahunan 6.1%, disokong oleh penambahbaikan keadaan pasaran buruh, dengan ekonomi kekal dalam guna tenaga penuh dan kadar inflasi dijangka kekal terurus. Inflasi dijangka antara 2.8% dan 3.8% setahun.
“Dari segi bekalan, sektor perkhidmatan dijangka berkembang pada kadar purata tahunan 5.7%, terutamanya diterajui oleh aktiviti berkaitan pengguna, seperti dalam subsektor perdagangan runcit, penginapan dan makanan dan minuman.
“Sementara itu, sektor pembuatan dijangka berkembang 4.9% setahun, dengan keutamaan diberikan bagi mempercepatkan peralihan ke arah sumber pertumbuhan baharu dalam sektor itu, khususnya dalam eletrik dan elektronik (E&E),” kata TA Securities. - DagangNews.com








