KUALA LUMPUR 11 Sept - Kerajaan akan membangunkan dasar larangan eksport bahan mentah nadir bumi bagi mengelakkan eksploitasi dan kehilangan sumber, lantas menjamin pulangan yang maksimum buat negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemetaan terperinci sumber unsur nadir bumi dan model perniagaan menyeluruh yang menggabungkan industri huluan, pertengahan dan hiliran akan dibangunkan bagi mengekalkan rantaian nilai nadir bumi di dalam negara.
Beliau berkata, bagi mencapai sasaran ini, Dasar Mineral Negara baharu akan dirangka bagi memacu pembangunan industri mineral yang menyeluruh berasaskan prinsip kemampanan dan kebertanggungjawaban.
"Kebijakan ini akan dijadikan panduan dalam melaksanakan aktiviti perlombongan dalam hutan simpan kekal, kawasan sensitif alam sekitar dan kawasan perlindungan," katanya ketika membentangkan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata, industri nadir bumi akan muncul sebagai sumber pertumbuhan baharu berasaskan unsur nadir bumi bukan radioaktif yang mampan dan mesra alam.
Katanya, unsur ini diperlukan dalam pembuatan bateri, super magnet dan alatan elektronik.
Tambahnya, industri nadir bumi dijangka menyumbang sebanyak RM9.5 bilion kepada KDNK negara pada tahun 2025 dan mewujudkan hampir 7,000 peluang pekerjaan. - DagangNews.com








