KUALA LUMPUR 12 Sept - AmInvestment Bank Research menjangkakan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) memberi impak positif kepada semua sektor dalam negara, dilengkapi bersama inisiatif Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP).
Dalam nota penyelidikan hari ini, firma itu berkata ia positif bagi jangka panjang terhadap RMK12 yang menyokong transformasi berstruktur Malaysia.
Ini adalah berikutan persaingan negara jiran, seperti Thailand, Indonesia, Vietnam dan Filipina, untuk aliran masuk pelaburan asing berlatarbelakangkan syarikat multinasional, yang menentukur semula berikutan ketegangan perdagangan Amerika Syarikat-China menerusi strategi membawa pulang pengeluaran (reshoring) dan mendapatkan input daripada pembekal di negara bersekutu (friend-shoring).
Seperti yang diketengahkan dalam ulasannya tentang NIMP, AmInvestment berpendapat bahawa Malaysia mempunyai peluang kukuh untuk pertumbuhan ekonomi yang lebih baik walaupun tidak semua objektif RMK12 tercapai.
“Ini berpunca daripada lokasi strategik negara ekoran laluan perdagangan TimurBarat yang sibuk, bakat berbahasa Inggeris bertaraf tinggi, struktur tadbir urus mantap, sumber asli banyak, infrastruktur berkualiti dan ekosistem perindustrian/komersial sedia ada,” tambahnya.
Di samping itu, AmInvestment berkata pengenalan sistem gaji progresif juga boleh meningkatkan kos pengeluaran korporat atau perusahaan kecil dan sederhana (PKS), melainkan ia disertai peningkatan produktiviti dan garis panduan kerajaan yang jelas untuk menangani kebimbangan pelabur.
“Oleh itu, kejelasan lanjut mengenai kemajuan RMK12 terletak pada keupayaan pelaksanaan berkesan jangka panjang dan kerjasama antara agensi kerajaan dan sektor swasta.
“Sementara itu, kami menunggu butiran lanjut mengenai peruntukan pelaburan dan butiran insentif yang akan diumumkan semasa pembentangan Bajet 2024 pada 13 Oktober,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Walaupun aliran ekuiti pelabur asing berubah-ubah, firma tersebut menjangkakan sebahagian besar pelabur institusi tempatan meneruskan pembelian menjelang akhir tahun.
AmInvesment meletakkan saranan ‘overweight’ terhadapa sektor bank, minyak dan gas, kereta, pengguna, kuasa, hartanah, REIT dan sektor penjagaan kesihatan, dengan pilihan utama ialah CIMB, RHB Bank, Alliance Bank, Tenaga Nasional, Telekom Malaysia, Kumpulan Dialog, Inari Amertron, Sunway REIT dan DuoPharma BioTech.
Firma itu juga menyukai saham bermodal kecil dengan jenama kukuh yang boleh menavigasi tekanan inflasi dengan selamat seperti Spritzer dan pengeluar kimia pertanian khusus Ancom Nylex, serta syarikat yang dinilai terlalu rendah seperti Deleum. - DagangNews.com








