Ringgit menuju prestasi terburuk sejak 2016 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ringgit menuju prestasi terburuk sejak 2016

KUALA LUMPUR 27 April - Ringgit menuju kerugian bulanan terbesar dalam tempoh lebih 5 tahun, berikutan kejatuhan harga minyak dan pendirian bank pusat yang cenderung terhadap mata wang pengeksport minyak. 

 

Menurut Bloomberg, dengan harga minyak memadamkan sebahagian besar keuntungan yang diraih susulan pencerobohan Rusia di Ukraine pada Februari lalu, ringgit susut 3.6% berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) setakat bulan ini, dijangka berdepan lebih banyak penyusutan ekoran kelembapan ekonomi China. 

 

Dalam laporan itu, Ketua Strategi Mata Wang Asia, RBC Capital Markets di Hong Kong, Alvin Tan berkata, kejatuhan ringgit adalah jauh lebih banyak daripada yang dijangkakan.

 

"Mata wang itu bersedia untuk menghadapi lebih banyak kelemahan selagi risiko pertumbuhan China terus meningkat. 

 

"Pendedahan ekonomi Malaysia kepada ekonomi China ternyata menjadi ancaman kepada ringgit,” katanya dalam laporan berkenaan hari ini.

 

China, yang ekonominya semakin terjejas oleh beberapa siri perintah sekatan bagi mengekang penularan wabak COVID-19, merupakan destinasi eksport terbesar Malaysia pada tahun lalu.

 

RBC menjangkakan ringgit yang diniagakan pada paras terendah sejak Mei 2020 pada Rabu, dijangka terus melemah sehingga RM4.40 berbanding dolar AS menjelang akhir suku kedua, paras yang kali terakhir dilihat pada April 2020.

 

Menurut laporan berkenaan, ringgit yang menuju penurunan bulanan mendadak sejak November 2016, merupakan mata wang Asia baharu muncul kedua paling buruk bulan ini selepas won.

 

 

BNM

 

 

Jurang yang semakin meluas dalam dasar monetari antara bank pusat Malaysia dan Rizab Persekutuan AS (Fed) juga akan menghalang sebarang keuntungan bermakna dalam ringgit tidak lama lagi.

 

Walaupun Fed menyokong kenaikan kadar faedah yang agresif tahun ini, Bank Negara Malaysia (BNM) masih bertahan dan berkemungkinan akan terus berbuat demikian.

 

Minggu lalu, Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Yunus menyifatkan, langkah mengetatkan dasar monetari apabila inflasi disebabkan oleh kejutan bekalan mempunyai keberkesanan yang terhad, walaupun pada ketika inflasi makanan pada Mac mencapai paras tertinggi dalam tempoh 5 tahun.

 

Penganalisis kanan mata wang di MUFG Singapura, Jeff Ng dalam laporan Bloomberg itu berkata, penurunan harga minyak dan perbezaan dasar bank pusat tidak menguntungkan ringgit.

 

"BNM hanya akan menaikkan sekali sahaja kadar faedah menjelang akhir tahun ini, yang mana bertentangan dengan jangkaan kenaikan kadar faedah AS tahun ini. Itulah sebabnya terdapat banyak kepentingan perlindungan jangka pendek dalam dolar AS/ringgit,” jelasnya.

 

Namun, yang lain masih melihat penangguhan untuk mata wang, kerana kenaikan kadar faedah Fed yang semakin meningkat membawa paras inflasi AS yang melambung terkawal dan melemahkan dolar AS. 

 

MUFG meramalkan ringgit mungkin mencecah RM4.16 bagi setiap dolar AS menjelang akhir tahun, manakala DBS melihatnya pada paras RM4.28.

 

Pakar strategi kanan kadar tukaran asing DBS di Singapura, Philip Wee pula menjangkakan dolar AS akan memuncak pada suku ketiga apabila perhatian beralih kepada bank pusat lain yang memainkan peranan dalam menormalkan dasar dan ini akan menguntungkan ringgit. - DagangNews.com