Ringgit kini menuju prestasi terbaik sejak April 2020 - laporan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ringgit kini menuju prestasi terbaik sejak April 2020 - laporan

KUALA LUMPUR 11 Nov - Ringgit mendahului kenaikan kukuh dalam mata wang Asia sedang pesat membangun pada Jumaat, didorong oleh inflasi di Amerika Syarikat (AS) semalaman yang lebih lemah, demikian menurut laporan Reuters.

 

Ini meningkatkan harapan terhadap kenaikan kadar faedah yang lebih perlahan oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) dan pertumbuhan ekonomi domestik yang teguh.

 

Ringgit kini berada dalam landasan untuk mencatatkan hari terbaiknya sejak April 2020. Tambahan pula, ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan dua angka buat kali pertama dalam lebih setahun pada suku ketiga, mengatasi anggaran penganalisis sebelum ini.

 

Namun begitu, Bank Negara Malaysia (BNM) memberi amaran bahawa inflasi akan terus meningkat pada tahun depan.

 

Berdasarkan laporan Reuters, pakar strategi pasaran di Natwest Markets, Galvin Chia berkata, setakat ini, (BNM) telah memberi komitmen kepada kenaikan 25 mata asas (bps) dan pada masa ini, tidak ada sebab untuk mereka tersasar daripada kenaikan 25 bps itu.

 

"Saya fikir ia agak menyegarkan untuk melihat dos data ekonomi yang positif keluar daripada pasaran (Asia Tenggara), dan menjangkakan lebih banyak pertumbuhan yang positif," katanya.

 

Pasaran saham tempatan menokok 1%, seiring dengan pasaran serantau yang lain, di tengah-tengah harapan bahawa kenaikan harga pengguna AS yang lebih kecil daripada jangkaan akan mendorong Fed untuk bertolak ansur dengan kadar pengetatan dasarnya.

 

Sementara itu, Ketua Strategi Kadar Tukaran di RBC Capital Markets, Alvin Tan berkata, ia membuka pintu kepada kenaikan selanjutnya dalam aset berisiko dan menjadi negatif untuk dolar dalam tempoh terdekat. 

 

Tan menolak kemungkinan Fed akan mengurangkan kadar pada separuh kedua 2023, tetapi, memberi amaran bahawa terdapat risiko tindak balas berlebihan dalam pasaran kerana inflasi AS masih sangat tinggi.

 

Kebanyakan mata wang serantau menambah nilai secara mendadak berbanding dolar AS yang lebih lemah. 

 

Mata wang Korea Selatan mengukuh lebih daripada 3% untuk mencatat prestasi terbaiknya sejak lebih sedekad, manakala rupiah Indonesia menikmati kenaikan paling mendadak dalam sehari sejak November 2020.

 

Dalam kalangan ekuiti, pasaran saham di Taiwan dan Korea Selatan masing-masing melonjak lebih daripada 3%, manakala pasaran saham di Singapura, Filipina, Indonesia dan India melonjak lebih daripada 1%. - DagangNews.com