KUALA LUMPUR 25 Ogos - RHB Research menyemak turun penarafan saham Advancecon Holdings Bhd. kepada 'neutral' berbanding 'beli' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada 28 sen daripada 34 sen sesaham sebelum ini berikutan prestasi kewangannya yang kurang memuaskan dalam tempoh separuh pertama.
Bagi tempoh berakhir 30 Jun 2022 itu, syarikat pembinaan infrastruktur itu merekodkan kerugian bersih teras sebanyak RM1.9 juta, berbanding anggaran firma tersebut sebelum ini sebanyak RM7 juta, terutamanya disebabkan kos jualan yang lebih tinggi dan kerugian segmen kuari.
Di sebalik penurunan harga input (seperti bar keluli) baru-baru ini, firma itu berkata, harga dijangka kekal di atas paras sebelum pandemik, sekali gus memberi tekanan kepada keuntungan bersih kumpulan.
"Satu-satunya perkembangan yang positif kepada kumpulan ialah lanjutan empat tahun bagi perjanjian pembelian tenaga (PPA) bagi projek solar berskala besar (LSS4).
"Tetapi, keuntungan hanya boleh dilihat dalam tempoh enam tahun akan datang atau lebih, berdasarkang anggaran kami," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022, Advancecon mencatat untung bersih sebanyak RM549,000 daripada kerugian bersih RM2.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan meningkat kepada RM99.17 juta daripada RM60.09 juta.
Untuk kumulatif enam bulan, ia merekodkan kerugian bersih lebih tinggi pada RM1.53 juta daripada RM1.42 juta dengan pendapatan meningkat kepada RM204.16 juta berbanding RM125.16 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Susulan prestasi kewangannya yang tersasar daripada jangkaan, RHB Research mengurangkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) hingga FY24 lebih 50% dengan mengambil kira anggaran margin yang lebih konservatif di tengah-tengah harga mentah dan kos kewangan yang lebih tinggi.
"Walaupun terdapat pertumbuhan dalam angka bagi FY23 hingga FY24, kami percaya ia akan mengambil masa untuk mencapai tahap pendapatan sebelum pandemik antara RM11 hingga RM18 juta.
"Memandangkan Advancecon tidak mempunyai pengalaman dalam projek MRT1 dan MRT2, jadi sukar untuk dijangka sama ada kumpulan akan menyertai projek MRT3 sebagai subkontraktor," katanya.
Setakat 12.02 tengah hari ini, harga saham Advancecon kekal tidak berubah pada 28 sen dengan 10,000 saham diniagakan. - DagangNews.com








