Reservoir Link dijangka raih manfaat daripada projek solar berskala besar - BIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Reservoir Link dijangka raih manfaat daripada projek solar berskala besar - BIMB Securities

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 21 Feb - BIMB Securities Research optimis namun berhati-hati terhadap prospek Reservoir Link yang dilihat akan kembali menjana keuntungan pada tahun ini berikutan pemulihan perkhidmatan telaga minyak dan gas.

 

Firma penyelidikan itu berkata, permintaan tinggi untuk perkhidmatan telaga akan mendorong keuntungan kumpulan itu.

 

Memetik laporan Prospek Aktiviti Petronas 2023-2025, aktiviti menggerudi sebanyak 96 telaga akan dilakukan, merangkumi 25 penerokaan, 2 penilaian dan 69 telaga pembangunan pada tahun ini.

 

Selain itu, 21 telaga pengeluar dirancang untuk aktiviti untuk meningkatkan pengeluaran manakala 28 telaga dikenal pasti untuk penyahtauliahan, tambah firma tersebut.

 

“Nilai kontrak Reservoir Link meningkat 15% suku ke suku (QoQ) kepada RM219 juta berbanding RM190 juta pada suku sebelumnya yang didorong oleh perolehan kontrak baharu dalam segmen tenaga boleh diperbaharui (RE),” tambahnya.

 

Menurut firma itu, RE menyumbang kepada kira-kira 35% atau RM76 juta daripada jumlah nilai kontrak tersebut.

 

Sementara itu, nilai tender kumpulan itu berjumlah RM723.8 juta pada akhir tahun 2022.

 

“Kami percaya Reservoir Link akan mendapat manfaat daripada projek RE solar yang kian memperoleh momentum di tengah-tengah pelancaran projek solar berskala besar (LSS4),” katanya.

 

Menurut BIMB Securities, prestasi kumpulan itu dalam tahun kewangan 2022 (FY22) di bawah anggarannya, di mana pendapatan yang dijana sebanyak RM98 juta meliputi 70% daripada ramalan tahun penuh firma tersebut.

 

Ini disebabkan perbezaan masa antara anggaran firma itu dan kerja sebenar yang dilakukan, tambahnya.

 

BIMB Securities mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada 52 sen sesaham terhadap Reservoir Link. -DagangNews.com