KUALA LUMPUR 1 Sept - Reservoir Link Energy Bhd. bekerjasama dengan salah satu pembekal penyimpanan tenaga tempoh panjang aliran besi terkemuka dunia dari Amerika Syarikat (AS) untuk menyediakan penyelesaian penyimpanan tenaga berkapasiti 200 MW di Malaysia, Singapura dan Indonesia.
Ini menyaksikan kedua-kedua pihak memeterai memorandum persefahaman yang ditandatangani menerusi anak syarikat milik 51% pegangan Reservoir Link, RL ADS Power Sdn. Bhd.
Pengarah Eksekutif Reservoir Link, Thien Chiet Chai berkata, melalui kerjasama strategik itu, kumpulan berjaya mengambil langkah pertama ke ruang teknologi hijau melalui pengenalan penyelesaian penyimpanan tenaga.
Katanya, potensi besar teknologi tersebut sudah pasti akan melengkapkan tawaran perniagaan sedia ada kumpulan dalam tenaga boleh diperbaharui (RE), menjadikannya pilihan yang lebih berdaya maju.
"Memandangkan sambutan dan permintaan yang amat menggalakkan untuk teknologi ini, kami berhasrat untuk bekerjasama rapat dengan rakan kerjasama kami untuk meluaskan capaian teknologi ini ke negara lain di rantau Asia Tenggara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Di bawah MoU itu, rakan kerjasama berkenaan akan membekalkan produk penyimpanan tenaga yang mana Reservoir Link bertanggungjawab terhadap kerja-kerja kejuruteraan, perolehan dan pembinaan projek tersebut.
Kerjasama antara kedua-dua pihak itu akan berkuat kuasa dari 15 Ogos 2022 sehingga salah satu pihak ditamatkan atau kedua-dua pihak menandatangani perjanjian muktamad.
Penyelesaian penyimpanan tenaga ialah penyelesaian bateri yang mampan alam sekitar dan kos rendah untuk menyimpan tenaga dijana daripada RE yang boleh digunakan untuk aplikasi komersial dan perindustrian.
MoU itu tidak memberi kesan kepada saham modal dan struktur pemegangan syarikat dan tiada kesan segera ke atas aset bersih sesaham, penggearan dan pendapatan syarikat termasuk anak-anak syarikatnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.
Sebaliknya, ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih syarikat untuk tahun-tahun kewangan berikutnya sekiranya menandatangani sebarang perjanjian muktamad daripada MoU tersebut. - DagangNews.com








