KUALA LUMPUR 6 Nov - Malacca Securities mengunjurkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) teras Ramssol Group Berhad bagi tahun kewangan 2023 dan 2024 (FY23-24) berkembang 40.6% hingga 75.9% kepada antara RM6.6 juta dan RM9.3 juta.
Firma penyelidikan itu berkata unjuran berkenaan disokong oleh usahasama Ramssol-GoSaas, projek berterusan yang perlu diselenggara dan diperbaharui, serta peningkatan permintaan untuk program EXCEL dan platform EnGo.
Firma itu berkata Ramssol terutamanya menyediakan perkhidmatan Pengurusan Modal Insan di bawah segmen perniagaan PeopleTech, yang baru-baru ini telah berkembang dengan produk baharu, serta segmen baharu iaitu, EduTech, MarketingTech dan AutoTech.
Menurut firma penyelidikan itu, di bawah segmen PeopleTech, usahasama Ramssol-GoSaas bakal mendapatkan projek baharu dengan sistem perancangan sumber perusahaan (ERP) dan pengurusan rantaian bekalan (SCM) berdasarkan Oracle.
“Selain itu, kami berpendapat kerjasama Ramssol dengan GoSaas untuk menawarkan sistem ERP dan SCM berasaskan Oracle seharusnya memberikan peluang untuk meluaskan jangkauan pasaran mereka dan mewujudkan kedudukan lebih kukuh dalam segmen yang menguntungkan ini.
“Dengan memanfaatkan kepakaran dan kehadiran pasaran GoSaas, Ramssol boleh menembusi pasaran baharu ini dengan berkesan dan menjana aliran pendapatan tambahan,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Di samping itu, Malacca Securities berkata permintaan meningkat dalam usaha antirasuah dan pematuhan, yang menandakan permintaan lebih tinggi untuk perkhidmatan EduTech Ramssol.
“Permintaan untuk perkhidmatan latihan dan pendidikan yang komprehensif dalam program utama mereka EXCEL bakal meningkat, manakala keupayaan mereka untuk menyampaikan latihan yang berkesan dan menyemai budaya tingkah laku beretika melalui platform EnGo akan menjadi pilihan organisasi,” tambahnya.
Sementara itu, segmen baharu kumpulan, iaitu MarketingTech, dijangka menyumbang pendapatan bagi tempoh akan datang berikutan jualan lebih besar dan menawarkan lebih banyak tayangan konsert di pawagam.
Ini adalah berikutan peningkatan permintaan untuk kesedaran korporat dan cabaran yang dihadapi peminat untuk menghadiri konsert artis (seperti ketersediaan tiket dan sekatan perjalanan).
“Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan pendapatan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) dua tahun sebanyak 57.3% untuk FY22-FY24,” katanya.
Firma itu menilai saham Ramssol pada 45.5 sen, menunjukkan potensi peningkatan hampir kepada 11.1%, dengan menambatkan pendapatan sesaham (EPS) teras FY24 sebanyak 3.04 sen kepada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 15 kali.
Pada pukul 10:04 pagi, saham Ramssol menokok 1 sen atau 2.4% kepada 42 sen dengan permodalan pasaran sebanyak RM128.7 juta. - DagangNews.com








