Qiagen sumbang 3,000 alatan ujian saringan batuk kering pendam kepada KKM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Qiagen sumbang 3,000 alatan ujian saringan batuk kering pendam kepada KKM

(Dari kiri), Hanlin Kok, Dr Alvin Lee Teck Chien, Datuk Dr Norhayati Rusli dan Pengarah Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan, Dr Nik Jasmin Nik Mahir ketika majlis sumbangan alatan ujian QuantiFERON-TB Gold Plus daripada Qiagen kepada KKM, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 Sept - Qiagen menyumbang sebanyak 3,000 alatan ujian QuantiFERON-TB Gold Plus kepada Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai alat pengesanan saringan jangkitan batuk kering pendam (LTBI). 

 

Saringan ini memberi tumpuan kepada bantuan pemeriksaan pesakit yang mempunyai risiko daya ketahanan iaitu kelompok penting yang berisiko terhadap jangkitan batuk kering (TB).

 

Ia juga sebagai sebahagian daripada komitmen Qiagen untuk memberikan impak positif kepada masyarakat yang kurang mendapat perhatian dalam usaha membasmi penyakit batuk kering. 

 

 Ketua Diagnostik Molekular APEC Qiagen, Dr Alvin Lee Teck Chien berkata, pihaknya sentiasa memberikan komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada inisiatif kesihatan awam.

 

Katanya, sebagai peneraju dalam ruang diagnostik TB ini, pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan KKM dalam usaha untuk membasmi jangkitan TB,

 

"Menerusi ujian tersebut, kami berharap dapat membantu untuk menambah baik kadar pengesanan TB, mengurangkan bebanan rawatan TB dalam sistem penjagaan kesihatan, dan akhirnya menyelamatkan lebih banyak nyawa dengan hasil rawatan pesakit yang lebih baik sebagai matlamat akhir kami," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

 

qiagen
Dr Alvin Lee Teck Chien

 

 

Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Awam) KKM, Datuk Dr Norhayati Rusli mengalu-alukan sumbangan sebanyak 3,000 alatan ujian QuantiFERON-TB Gold Plus berkenaan dan menghargai peranan yang dimainkan oleh sektor swasta dalam menyediakan sebarang bentuk sokongan kepada kerajaan dalam mengurangkan pelbagai penyakit sedia ada dan baharu.  


 
"Bagi pihak KKM, saya ingin melafazkan kesyukuran dan penghargaan kami kepada Qiagen atas penajaan QuantiFERON-TB Gold Plus ini yang akan membolehkan pelaksanaan ujian dan pengesanan LTBI pada skala yang lebih meluas dalam kalangan penduduk yang berisiko tinggi.

 

"Kami mengharapkan lebih banyak lagi kerjasama dengan organisasi terkemuka seperti Qiagen untuk terus memberikan impak positif dalam memenuhi keperluan mendesak penjagaan kesihatan dan pesakit," katanya.

 

QuantiFERON-TB Gold Plus merupakan ujian darah pengeluaran interferon-gamma (IGRA) terkemuka dengan berjuta ujian dijalankan setiap tahun. 

 

Garis panduan antarabangsa daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyokong ujian darah seperti QuantiFERON-TB Gold Plus dalam semua keadaan sebagai sebahagian daripada usaha untuk menamatkan epidemik TB di seluruh dunia. 

 

Sumbangan ini bertujuan untuk memperoleh sokongan dalam sistem penjagaan kesihatan Malaysia dan membantu penggunaaan ujian IGRA secara lebih meluas di Malaysia bagi kelompok berisiko daya ketahanan termasuk golongan yang mempunyai penyakit kencing manis dan penyakit lain. 

 

Maklumat lanjut mengenai ujian TB dan QuantiFERON-TB Gold Plus boleh didapati di https://www.qiagen.com/End-TB. - DagangNews.com