PublicInvest yakin Uzma kekalkan momentum pertumbuhan bermula FY24 dan seterusnya | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PublicInvest yakin Uzma kekalkan momentum pertumbuhan bermula FY24 dan seterusnya

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Public Investment Bank (PublicInvest) percaya Uzma Berhad akan mengekalkan momentum pertumbuhannya bermula FY24 dan seterusnya berdasarkan kadar tempahan kerja bernilai RM2.8 bilion dengan 70% daripadanya daripada segmen minyak dan gas (O&G).

 

Firma penyelidikan itu berkata, kadar tempahan kerja itu dijangka terus meningkat kerana kumpulan itu mungkin meraih lebih banyak projek baharu bagi bagi dua suku seterusnya.

 

Katanya, Uzma juga mempelbagaikan perniagaannya bagi mengatasi masalah ketidakstabilan dan segmen O&G.

 

"Secara keseluruhan, kami yakin dengan prospek Uzma dan meningkatkan unjuran pendapatan mereka sebanyak 45% dan 34% untuk FY24 dan FY25 selepas mengambil kira kemajuan kerja yang dipercepatkan dan aktiviti perkhidmatan telaga tinggi dalam buku pesanannya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA:Untung bersih Uzma meningkat kepada RM11.4 juta bagi 4QFY23 didorong sumbangan hasil baharu daripada perdagangan LNG

 

Terdahulu, pendapatan teras FY23 Uzma meningkat tiga kali ganda kepada RM51.7 juta, daripada RM12.9 juta setahun sebelumnya.

 

Peningkatan ketara ini disebabkan oleh ketiadaan perintah kawal pergerakan yang membolehkan lebih banyak aktiviti dan kos pematuhan yang lebih rendah dalam tahun kewangan.

 

"Kami percaya Uzma berkemungkinan mendapat kontrak kemudahan suntikan air (WIF) daripada pengeluar minyak tempatan tidak lama lagi. 

 

"Berbanding pesaing lain, kumpulan itu boleh memanfaatkan kejayaan WIF sedia ada yang mempunyai rekod prestasi bulanan sehingga 100%.

 

"Terdapat juga tiga tender bekalan paip bukan logam yang akandimuktamadkan pada separuh ketiga 2023," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM.120, lebih tinggi berbanding RM1.00 sesaham sebelum ini. - DagangNews.com