KUALA LUMPUR 31 Jan - Public Investment Bank Research menyemak naik harga sasaran Uzma Bhd. kepada 80 sen daripada 71 sen sebelum ini dengan mengekalkan pandangan 'outperform' berikutan prospek kumpulan yang lebih kukuh setelah meraih lanjutan kontrak daripada Petronas Carigali Sdn. Bhd.
Lanjutan kontrak bernilai RM230 juta itu membabitkan kontrak penyediaan tiub bergelung dan perkhidmatan untuk Petronas Carigali – Wilayah Timur.
Firma itu positif dengan lanjutan kontrak itu kerana ia mengesahkan prospeknya untuk Uzma sebagai penerima manfaat utama dalam peningkatan aktiviti brownfield terutamanya pengeluaran dan aktiviti penyahtauliahan.
Pada masa sama, katanya, jumlah lanjutan itu adalah 15% lebih tinggi (meningkat RM30 juta) berbanding lanjutan sebelum ini.
"Semakan semula nilai kontrak yang lebih tinggi ini menandakan pandangan optimis kami terhadap Uzma terutamanya didorong harga minyak yang stabil melebihi AS$80 setong.
"Sejajar dengan semakan semula harga sasaran, kami menaikkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) sebanyak 12 hingga 15% bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY23) hingga FY25 dengan menjangkakan lebih banyak perolehan kontrak akan datang," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : Uzma raih 2 tahun lanjutan kontrak bernilai RM230 juta daripada Petronas Carigali
Kontrak tersebut sebelum ini dianugerahkan pada 20 November 2015. Ia kali pertama dilanjutkan pada 24 November 2020.
Menurut Public Investment, kontrak itu dijangka memberi impak positif kepada keuntungan Uzma kira-kira RM6.4 juta setahun, dengan mengandaikan pengiktirafan hasil yang sama dan margin keuntungan bersih gabungan sebanyak 5.5%.
"Berdasarkan semakan kami, nilai kontrak semasa Uzma ini berjumlah RM2.2 bilion selepas ia memperoleh kontrak bernilai RM40 juta dan RM230 juta pada Januari 2023.
"Kami menjangkakan ia akan mengekalkan momentumnya untuk mendapatkan lebih banyak kontrak dalam masa terdekat disokong nilai tendernya melebihi RM1 bilion," jelasnya.
Setakat 12.03 tengah hari, harga sahamnya susut 0.5 sen atau 0.78% kepada 63.5 sen dengan 1.29 juta saham diniagakan. - DagangNews.com








