KUALA LUMPUR 7 Sept - Prudential Assurance Malaysia Bhd (PAMB) melancarkan PRUWealth Enrich, iaitu pelan insurans berkaitan pelaburan yang memberi kawalan keselamatan dan perlindungan keluarga di samping meningkatkan kekayaan jangka panjang dan membina legasi.
PRUWealth Enrich menawarkan perlindungan yang tinggi bermula dari jumlah asas diinsuranskan sebanyak RM300,000 dengan premium mampu milik.
Ia sekali gus dapat membantu individu memulakan rancangan perlindungan mereka pada usia muda dan ketika kerjaya mereka yang baru bermula demi memanfaatkan sepenuhnya pelan ini.
Selain itu, pelan ini juga menawarkan peningkatan perlindungan tambahan sehingga 50%. Pemegang polisi akan mendapat lebih perlindungan sekiranya kekal dengan pelan ini.
Di samping itu, pelan ini turut menawarkan perlindungan sehingga 500% untuk kematian akibat kemalangan. Oleh itu, masa depan orang tersayang akan lebih terjamin apabila berlaku kejadian luar jangka.
Ketua Pegawai Produk dan Perkhidmatan Aktuari PAMB, Ankur Bassi berkata, legasi adalah hadiah untuk keselamatan dan keselesaan demi memastikan kesejahteraan orang tersayang.
Katanya, tiada siapa yang mahukan orang tersayang mewarisi pinjaman rumah dan beban hutang apabila berlaku kejadian yang tidak diduga.
"Dengan PRUWealth Enrich, pelanggan dapat mengharungi cabaran kewangan dengan mudah dan memberi jaminan kewangan kepada keluarga mereka di samping menyediakan perlindungan untuk harta dan aset," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Ketua Pegawai Pemasaran dan Perkongsian Pengedaran PAMB, Eric Wong pula berkata, dengan perancangan yang teliti, PRUWealth Enrich membantu mereka merancang legasi untuk yang tersayang dan generasi akan datang.
"Selain itu, mereka dapat meraih ganjaran yang lebih tinggi sehingga 30% daripada jumlah diinsuranskan asas apabila mereka memilih perlindungan yang lebih tinggi dan tempoh polisi yang lebih panjang," katanya.
Memandangkan membina legasi memerlukan perancangan, PRUWealth Enrich memberi kebebasan kepada pelanggan untuk membayar mengikut tempoh yang sesuai dengan keperluan mereka.
Mereka boleh memilih untuk membuat bayaran dalam tempoh 5, 10, 20 tahun ataupun membayar sepanjang tempoh polisi. - DagangNews.com








