Proton tawar pakej pembiayaan kepada graduan beli kereta pertama | DagangNews Skip to main content

Proton tawar pakej pembiayaan kepada graduan beli kereta pertama


Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com


SHAH ALAM 4 Ogos – Proton Commerce Sdn. Bhd. (PCSB), sebuah syarikat di bawah Kumpulan PROTON mengumumkan satu kempen yang menyediakan peluang kepada graduan baharu untuk memiliki kereta pertama dengan kadar pinjaman Sewa Beli (HP) yang rendah.

Lebih memudahkan, kempen ini hanya memerlukan satu surat pengesahan pekerjaan atau slip gaji selama sebulan sebagai syarat untuk mendapatkan pinjaman.

Bermula hanya 2.98%, kadar yang ditawarkan oleh PCSB ini adalah antara yang terendah di dalam segmen itu setakat ini.

Syarat-syarat utama yang diperlukan pelanggan termasuklah mestilah seorang graduan (sekurang-kurangnya diploma), berumur antara 18-30 tahun dan mempunyai pekerjaan dengan gaji minimum RM1,500. Kempen ini berlangsung sehingga 31 Disember 2020, seiring dengan penawaran jualan tanpa cukai bagi semua kereta Proton.

Kempen ini diadakan bagi membantu mengatasi masalah mobiliti bagi mereka yang baru memasuki fasa pekerjaan. Halangan utama bagi pembeli di dalam segmen ini adalah untuk mendapatkan pinjaman jual beli tanpa mempunyai slip pendapatan selama tiga bulan, iaitu satu syarat biasa bagi mendapatkan pinjaman.

"Melihatkan kepada ekonomi ketika ini, mobiliti adalah sesuatu yang penting bagi anak muda yang baru memasuki alam pekerjaan. Kempen ini memberikan pemerkasaan dan autonomi kepada graduan-graduan tersebut. Kami yakin bahawa pakej ini akan membantu graduan baharu memiliki kereta, di mana bayaran semula hanya dari serendah RM239 sebulan” kata Mooi Fi Phang, Ketua Pegawai Eksekutif PCSB.
 

pro
                                                                            Mooi Fi Phang


Menurut Mooi, industri jual beli dijangka meningkat dalam waktu dekat, berikutan pengurangan baru-baru ini bagi Kadar Dasar Semalaman serta pengecualian cukai jualan kenderaan penumpang.

Selain pakej kempen graduan baharu, PCSB turut mengumumkan bahawa pada 7 Julai 2020, syarikat juga telah menurunkan kadar faedah penawaran keseluruhan sehingga serendah 2.22% berdasarkan kredibiliti pelanggan dan margin kewangan.

Ini bermaksud pelanggan akan mendapat keuntungan secara langsung di mana bayaran bulanan yang lebih rendah membolehkan mereka menggunakan simpanan tersebut untuk membeli barangan keperluan, dan membuat simpanan untuk kegunaan masa hadapan. Untuk maklumat lanjut mengenai PCSB dan perkhidmatan yang disediakan, layari www.protoncommerce.com. - DagangNews.com