Proton kembali catat jualan tertinggi dalam tempoh 8 tahun | DagangNews Skip to main content

Proton kembali catat jualan tertinggi dalam tempoh 8 tahun

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

SHAH ALAM 4 Ogos - Empat model Proton berjaya mendahului jenama lain di dalam segmen masing-masing dengan Proton Saga sekali lagi mencatat jualan tertinggi dan menjadi pilihan utama dalam pasaran sedan segmen A.

Sebanyak 5,421 unit berjaya dijual pada bulan Julai, termasuk 1,100 unit Edisi Ulang Tahun Saga yang habis ditempah dalam hanya lima hari selepas ia dilancarkan pada 9 Julai yang lalu. Jumlah ini juga merupakan tertinggi yang dicatatkan oleh model itu sejak April 2014.

Selain itu, Proton X70 turut menunjukkan prestasi yang lebih baik. Dengan jualan sebanyak 3,087 unit, SUV segmen C premium itu bukan sahaja mencapai jualan bulanan terbaik, malah terus menjadi SUV terlaris di Malaysia dengan peningkatan pegangan pasaran sebanyak 25.6% iaitu 4.3% lebih tinggi berbanding 2019.

Dua lagi model terlaris Proton adalah Persona dan Exora. Proton berjaya menjual sebanyak 3,043 unit Persona pada bulan Julai, mengukuhkan kedudukannya yang teratas bagi sedan segmen B.

Sementara itu, sebanyak 792 unit dijual bagi Exora, juga merupakan jumlah jualan terbaik sejak Ogos 2016, kekal menjadi pilihan utama bagi pasaran MPV segmen C.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, jualan Proton pada bulan Julai 2020 menunjukkan prestasi terbaik syarikat dalam tempoh lebih lapan tahun.

 

pro
                                                                     ROSLAN ABDULLAH

 

"Kami berbangga dengan pencapaian model-model syarikat di dalam setiap segmen. Kami juga mendapati terdapat kesan positif dalam aspek perniagaan lain yang turut membantu dalam peningkatan jualan.

"Sebagai contoh, Proton Commerce, penyedia pembiayaan kenderaan dalaman syarikat yang mencatat peningkatan jumlah pinjaman sebanyak 100% berbanding bulan sebelumnya. Oleh itu, kami ingin mengucapkan terima kasih di atas sokongan oleh semua rakyat Malaysia dan buat masa ini, kami tetap berasa optimis pada tahun 2020 ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Roslan berkata, untuk bulan Ogos, Proton akan terus berusaha memberi tawaran menarik kepada pasaran dan merangsang jualan sebagai persiapan untuk memperkenalkan lebih banyak model pada akhir tahun ini.

"Bahagian pengeluaran, kualiti, jualan dan selepas jualan Proton sedang bekerja keras untuk memastikan agar kami dapat memenuhi permintaan pelanggan serta memberikan tahap perkhidmatan pelanggan yang bersesuaian seperti yang telah kami tetapkan,” ujar beliau.
 

pro


Jualan kereta di Malaysia terus meningkat pada bulan Julai di mana gabungan antara insentif jualan tanpa cukai dan permintaan pengguna telah mendorong kenaikan Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) tertinggi dalam tempoh 13 bulan.

Proton turut memperoleh keuntungan dari peningkatan penjualan tersebut selepas jenama automotif Malaysia sekali lagi menguasai pasaran yang menyumbang sekitar 63.2% jumlah jualan pada bulan ini.

Dengan jualan sebanyak 13,216 unit, rekod jualan pada bulan Julai merupakan yang terbaik bagi tahun 2020 setakat ini dan merupakan jumlah jualan bulanan tertinggi sejak Jun 2012.

Empat model telah mencatat jualan tertinggi dalam segmen masing-masing pada bulan Julai menunjukkan jualan keseluruhan meningkat 37.3% (13,216 vs 9,623) berbanding Jun 2020 dan 45.7% (13,216 vs 9,072) berbanding bulan yang sama pada tahun 2019. - DagangNews.com
 

pro2