Program santuni masyarakat pedalaman di Sabah jadi pengalaman berharga buat 32 sukarelawan NGO | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Program santuni masyarakat pedalaman di Sabah jadi pengalaman berharga buat 32 sukarelawan NGO

Para sukarelawan NGO bergambar bersama pelajar-pelajar SK Logongan pada majlis penutup program ziarah di daerah Pagalungan, Sabah, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 16 Jun - Seramai 32 sukarelawan daripada Pertubuhan MyAmal Sabah, (MyA), Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) dan Malaysian Relief Agency (MRA) menyertai program Ziarah Pagalungan bagi menyantuni masyarakat pedalaman Sabah, baru-baru ini.

 

Program tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk kampung daerah kecil Pagalungan yang terletak bersebelahan sempadan Malaysia dan Indonesia. 

 

Menurut Pegawai Kanan Bahagian Program IR Malaysia, Fathi Ridhwan Saidin, program tersebut bertujuan untuk menyantuni penduduk kampung dan pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Logongon melalui agihan sumbangan dan aktiviti psikososial yang dijalankan.

 

"Kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan MyA dan MRA dalam program Ziarah Pagalungan. Sebelum ini, IR Malaysia sudah beberapa kali masuk ke kawasan ini bagi menyampaikan bantuan seperti agihan pek makanan Ramadan dan bantuan persekolahan ‘Cheer to School’.

 

"Disebabkan kedudukan kampung ini yang jauh di pedalaman, penduduk di kawasan ini menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan makanan asas. Mereka perlu mengeluarkan kos yang tinggi semata-mata untuk pergi ke pekan untuk mendapatkan bekalan. 

 

"Oleh sebab itu, IR Malaysia memilih kawasan ini sebagai lokasi bantuan untuk meringankan beban penduduk kampung di sini," katanya dalam kenyataan.

 

Fathi berkata, program tersebut meninggalkan kesan yang amat mendalam bukan sahaja kepada penduduk kampung dan para pelajar bahkan kepada setiap sukarelawan yang hadir.

 

 

ir

 

 

Tambahnya, untuk sampai ke daerah tersebut, para sukarelawan terpaksa menempuh selama tujuh jam perjalanan dari Kota Kinabalu dengan menggunakan jalan darat dan sungai, yang mana memerlukan kekuatan fizikal dan mental yang sangat tinggi.

 

 

ir

 

 

"Kebanyakan sukarelawan ini baru pertama kali menjejakkan diri ke kawasan pedalaman. Jadi, program ziarah ini telah memberi pengalaman baharu dan berharga buat mereka apabila dapat melihat sendiri suasana dan kesukaran yang dialami penduduk kampung," katanya.

 

Antara aktiviti yang dijalankan dalam program tersebut adalah sukan belia, sukaneka kanak-kanak, sesi motivasi, kuliah maghrib dan subuh serta ceramah kesihatan gigi. 

 

 

ir

 

 

Selain itu, para sukarelawan turut menyampaikan sumbangan 50 pek makanan dan 90 kit kebersihan kepada penduduk kampung berkenaan. - DagangNews.com