KUALA LUMPUR 6 Jan - Sempena tahun kelima #BreakTheSilence, Grab memperkenalkan GrabAccess, program serantau untuk memperkasakan orang kurang upaya (OKU) dan individu terpinggir melalui platform Grab di Malaysia.
Pengumuman ini merupakan dua pencapaian perkongsian yang penting di mana pertama, Grab mengulangi kerjasamanya dengan Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD), dan kedua, membentuk perkongsian baharu dengan Persatuan Pemandu e-Hailing OKU Fizikal Malaysia (PPEOFM).
Melalui program tersebut, kerjasama antara tiga parti ini diharap dapat menangani dan mengurangkan halangan yang dihadapi oleh komuniti OKU dan yang terpinggir dengan memberi mereka akses dan peluang inklusif serta saksama untuk menjadi rakan kongsi Grab, tidak kira sebagai rakan pemandu, penghantar atau peniaga.
Ketua Kelestarian Grab, Iris Chang berkata, pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan kedua-dua organisasi ini sebagai rakan kongsi perintis untuk mendampingkan kami dengan lebih ramai warga OKU.
"Sebagai syarikat teknologi, Grab komited untuk menyediakan bantuan dan sesi latihan khas supaya mereka berpeluang memanfaatkan teknologi kami dan platform Grab untuk menjana pendapatan.
"Bersama-sama, kami berharap dapat membantu lebih ramai OKU mencapai kebebasan kewangan dan mencipta kisah pemerkasaan mereka tersendiri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pengasas PPEOFM, Niyaz Nathan pula berkata, ramai dalam kalangan mereka mengalami stigma dan beberapa bentuk diskriminasi oleh orang-orang sekeliling kerana lebih tertumpu kepada ketidakupayaan dan bukannya kebolehan mereka.

Katanya, mereka ingin mencari, mengambil dan menggunakan setiap peluang yang ada untuk meningkatkan dan memperkasakan komunitinya.
"GrabAccess membolehkan kami merekrut, menggalakkan dan menyokong mereka yang berminat untuk menjadi rakan pemandu Grab atau penghantar.

"Kami berharap dapat menangani halangan dihadapi oleh golongan OKU, terutamanya mereka yang berminat untuk menjadi pemandu e-hailing, kerana proses hari ini ketat dan menjadi cabaran bagi sesetengah pihak untuk memenuhi keperluan diperlukan,” katanya.
Menurut Presiden Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD), Mohamad Sazali Shaari, mereka berbangga dengan kerjasama yang telah lama terjalin dengan Grab untuk memastikan para OKU di Malaysia terutamanya masyarakat pekak mendapat akses kepada pengetahuan, keupayaan dan peluang untuk memasuki dalam tenaga kerja Malaysia secara sama rata.


Katanya, usaha seperti #BreakTheSilence dan GrabAccess adalah salah satu contoh batu loncatan untuk mereka memecahkan stigma dan menggalakkan perbualan jujur serta terbuka tentang kepentingan peluang inklusif dan saksama untuk membina sebuah negara progresif dan berkembang maju. - DagangNews.com








