Prestasi Nestle Malaysia masih dipengaruhi tekanan inflasi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prestasi Nestle Malaysia masih dipengaruhi tekanan inflasi

Gambar : Facebook Nestle Malaysia
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 27 April - Tekanan inflasi dilihat akan terus mengecilkan keuntungan Nestle (Malaysia) Bhd. dalam tempoh terdekat, sekali gus mengehadkan potensi pemulihan pendapatannya. 

 

Dalam nota kajian hari ini, AmInvestment Bank Research berkata, konflik Rusia-Ukraine semakin memberi tekanan kepada kos selepas ia melonjakkan harga tenaga (minyak mentah dan gas) dan komoditi (terutamanya gandum, barli dan minyak bunga matahari) jauh lebih tinggi di tengah-tengah isu rantaian bekalan yang semakin meruncing.

 

"Harga minyak mentah Brent melonjak 13% manakala harga gandum meningkat sebanyak 49% sejak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine bermula 24 Februari lalu.

 

"Kelonggaran kos input mungkin akan dilakukan secara berperingkat dan bukannya serta-merta apabila rantaian bekalan global melalui pelarasan semula," katanya.

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam Nestle Malaysia mencatat keuntungan bersih yang lebih tinggi pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022 sebanyak RM205.18 juta berbanding RM175.16 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Kumpulan merekodkan keuntungan yang lebih baik di sebalik impak kenaikan harga komoditi dan juga pelaksanaan Cukai Makmur.

 

Pendapatan bagi tempoh itu turut meningkat 16.9% kepada RM1.69 bilion daripada RM1.45 bilion sebelum ini dipacu oleh jualan domestik dan eksport lebih tinggi dengan masing-masing meningkat 14.9% dan 25.3%.

 

Baca : Nestle catat untung lebih tinggi pada Q1 sebanyak RM205.18 juta

 

Menurut AmInvestment, margin kasar kumpulan 2.5% mata secara berturut-turut kepada 34%, mungkin disebabkan leveraj operasi yang lebih baik berikutan jualan yang lebih kukuh.

 

"Bagaimanapun, ia kekal di bawah purata 36% bagi 8 suku sebelum ini dan paras sebelum pandemik sekitar 37 hingga 39%, dipengaruhi oleh harga komoditi yang lebih tinggi seperti gula, susu tepung, biji kopi dan gandum," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan pandangan 'underweight' terhadap Nestle Malaysia dengan nilai wajar tidak berubah pada RM114 sesaham.

 

Ia juga tidak membuat sebarang perubahan kepada unjuran hasil memandangkan kumpulan merekodkan untung bersih teras sebanyak RM205 juta pada suku pertama, merangkumi 34% daripada unjuran firma dan 36% daripada konsensus.

 

Firma itu berkata, prestasi tersebut adalah sejajar dengan jangkaannya, kerana kebiasaannya kumpulan merekodkan prestasi suku pertama yang kukuh. 

 

"Sebagai perbandingan dengan 3 musim kewangan yang lalu, suku pertama merangkumi 31 hingga 36% daripada untung bersih kumpulan bagi tahun penuh.

 

"Hasil tahun ke tahun yang kukuh ini terutamanya didorong oleh permintaan yang kembali pulih apabila ekonomi dibuka semula," tambahnya. 

 

Setakat 11.42 pagi ini, harga saham Nestle Malaysia menokok 10 sen atau 0.07% kepada RM133.50 dengan 2,000 saham diniagakan. - DagangNews.com