KUALA LUMPUR 22 Feb - Tune Protect Group Berhad kembali mencatat keuntungan pada suku keempat tahun kewangan 2022 (4QFY22) sebanyak RM558,000 selepas merekodkan kerugian untuk empat suku berturut-turut.
Kumpulan penyedia insuran itu juga meningkatkan pendapatan 4QFY22 sebanyak 35.2% kepada RM138.96 juta daripada RM102.79 juta bagi tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, jurang kerugian bersih kumpulan itu bagi tahun kewangan 2022 (FY22) bertambah daripada RM14.99 juta kepada RM34.39 juta.
Syarikat itu berkata kerugian itu berpunca daripada peningkatan kerugian syarikat bersekutu sebanyak RM5.1 juta dan pengurangan keuntungan taja jamin sebanyak RM23.7 juta.
Sebaliknya, pendapatan FY22 meningkat 21.8% kepada RM529.51 juta daripada premium perolehan kasar yang tinggi, terutamanya disumbangkan oleh segmen insuran am, diimbangi oleh pendapatan pelaburan yang lebih rendah sebanyak RM3.3 juta.
Menurut laporan kewangan kumpulan itu di Bursa Malaysia hari ini, pemulihan kewangan kumpulan tersebut didorong oleh pertumbuhan segmen gaya hidup, terutamanya dipacu peningkatan pada insuran kemalangan diri sebanyak RM14.1 juta dan insuran motor sebanyak RM9 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Tune Protect, Rohit Nambiar berkata, kumpulan tersebut memberi tumpuan dalam pengembangan segmen motor yang mendatangkan keuntungan dengan pemantauan berterusan terhadap portfolio itu.
“Kami juga akan meningkatkan campuran segmen motosikal, menembusi ejen pelancongan terkemuka di setiap bandar dan mengembangkan segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan kesihatan,” katanya.
Pembukaan semula ekonomi dan pemulihan pelancongan pasca pandemik dijangka memacu pertumbuhan syarikat memandangkan 4QFY22 mencatatkan 1.9 juta kiraan pelanggan unik iaitu dua kali ganda berbanding suku sebelumnya.
Bagaimanapun, kumpulan itu kekal konservatif dalam pelaburan pada 2023 memandangkan dasar monetari bank pusat ditamatkan yang mendorong peningkatan pasaran bon di peringkat global dan di Malaysia.
Dari segi peruntukan aset, dana pasaran wang akan membentuk sekurang-kurangnya 70% daripada keseluruhan portfolio menjelang akhir suku pertama tahun 2023.
Menurut Rohit, pada 4Q2022, kumpulan mengurangkan pendedahan ekuiti kepada 2% dan akan keluar sepenuhnya menjelang separuh pertama 2023. -DagangNews.com








