KUALA LUMPUR 12 Sept - Penyedia perkhidmatan feri, Pulau Pinang Port Sdn Bhd (PPSB) menawarkan diskaun tambang sebanyak 30% untuk penunggang motosikal yang memegang pas bermusim.
PPSB memaklumkan, diskaun tersebut ditawarkan berkuat kuasa hari ini sehingga 30 Jun 2024.
Katanya, pihaknya bersama Kementerian Pengangkutan (MOT), Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) dan MMC Corporation Bhd memahami kepentingan menggerakkan perkhidmatan feri dengan mod pengangkutan lain di Pulau Pinang.
"Untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada penumpang kami, jadual perkhidmatan feri kini menyediakan perjalanan tambahan pada jam 11 malam setiap hari dari Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) di Butterworth.
"Pelarasan ini sejajar dengan perkhidmatan feri PPSB dengan jadual tren KTMB ETS yang tiba pada jam 10.22 malam, yang mana memastikan pengalaman perjalanan yang lancar dan mudah untuk semua penumpang," katanya dalam kenyataan media di sini.
Menurut PPSB, PPC, MOT dan MMC melanjutkan komitmen berterusan ke arah penambahbaikan perkhidmatan feri Pulau Pinang.
"Semoga perubahan ini akan memberi kesan positif kepada kehidupan harian penumpang feri dan mencerminkan dedikasi bersama kami untuk menyediakan pilihan pengangkutan yang selamat, boleh dipercayai dan mudah di Pulau Pinang," katanya.

Tambah PPSB, pihaknya berterima kasih kepada semua pelanggan yang dihargai menerusi sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi.
"PPSB amat menghargai kesetiaan dan maklum balas pelanggan, yang mana membolehkan kami meningkatkan perkhidmatan secara berterusan.
"Sepanjang bulan ini, PPSB sentiasa memantau komen orang ramai dan kebimbangan mengenai perkhidmatan feri Pulau Pinang. Input anda sangat berharga bagi kami, dan kami komited untuk menangani keperluan anda dan memastikan pengalaman perjalanan yang lancar untuk semua," katanya. - DagangNews.com








