KUALA LUMPUR 23 Feb - Cadangan Gamuda Bhd. untuk mengambil alih perniagaan Downer Transport Projects (DTP) pada nilai perusahaan AU$212 juta (RM636 juta) akan mengukuhkan lagi kedudukan syarikat pembinaan itu di Australia.
Gamuda semalam mengumumkan cadangannya untuk mengambil alih perniagaan projek pengangkutan itu menerusi anak syarikat asing milik penuhnya di negara itu, DT Infrastructure Pty Ltd. (DTI) daripada Downer EDI Works Pty Ltd (DEW) dan VEC Civil Engineering Pty Ltd (secara kolektif dikenali sebagai Downer).
DPT ialah unit perniagaan yang berbeza di bawah Downer yang menyediakan perkhidmatan pembinaan awam dalam menyampaikan projek pengangkutan untuk pelanggannya, dengan kepakaran khusus dalam rel.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research positif dengan langkah tersebut setelah mengambil kira harga perolehan yang baik dan pengembangan nilai kontrak kumpulan.
Menurutnya, kumpulan menjangkakan sumbangan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang mampan sebanyak AU$53 juta (RM161 juta) daripada DTI dengan ruang untuk peningkatan selanjutnya pada masa hadapan.
Pada masa sama, panduan margin pendapatan sebelum cukai dan faedah (EBIT) berlegar sekitar 8 hingga 10% untuk perniagaan berkenaan.
"Selepas langkah pengambilalihan ini selesai dijangka pertengahan tahun ini, penggearan bersih Gamuda akan meningkat daripada 0.1x kepada 0.2x, yang akan memberi kapasiti mencukupi untuk membiayai projek Penang South Islands (PSI) sekiranya ia menjadi kenyataan," katanya dalam nota kajian hari ini.
Dari segi nilai kontrak pula, DTI memiliki nilai kontrak pembinaan belum dibilkan setakat ini berjumlah AU$3.3 bilion.
Ia dijangka menyuntik sehingga AU$2 bilion pada pertengahan tahun ini apabila cadangan ini selesai sekali gus meningkatkan 38% nilai kontrak disatukan Gamuda kepada hampir RM22 bilion.
"Memandang ke hadapan, pakej SRL East di Australia bernilai AU$5.5 bilion mungkin akan dianugerahkan pada pertengahan 2023, manakala kontrak projek MRT3 pula akan diumumkan selepas itu," jelasnya.
Mengambil kira cadangan pengambilalihan itu yang positif, HLIB menyemak naik unjuran keuntungan Gamuda bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2024 (FY24) dan FY25 masing-masing sebanyak 9.5% dan 7.1%.
Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap Gamuda dengan harga sasaran lebih tinggi pada RM4.88 daripada RM4.15 sesaham. - DagangNews.com








