KUALA NERUS 4 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan tahniah keupayaan Terengganu mengekalkan khazanah laut dan kelestarian alam sekitar bagi membolehkan namanya tercatat dalam Malaysia Book of Records (MBOR).
Ismail Sabri berkata, ini kerana beliau yakin sasaran menarik kedatangan tiga juta pelancong menerusi kempen ‘Beautiful Terengganu’ pada tahun ini dapat direalisasikan sekali gus merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di negeri itu.
Beliau berkata, kerajaan turut mewartakan pintu masuk Pelabuhan Silica di Setiu yang kini menjadi laluan tambahan kemasukan para pelancong luar dalam usaha untuk merancakkan pembangunan di kawasan yang terlibat.
"Tahniah dan syabas saya ucapkan dan semoga usaha ini diteruskan dalam merancakkan sektor pelancongan supaya Keluarga Malaysia turut menikmati hasil manfaatnya," katanya ketika berucap merasmikan majlis penutup Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di sini, hari ini.
Menurut Perdana Menteri, industri minyak dan gas terutamanya di Kerteh dan Kemaman merupakan tunjang kepada ekonomi Terengganu yang bukan sahaja menarik ramai pelabur asing, malah meningkatkan peluang pekerjaan setempat.
"Terkini, Terengganu terlibat dengan projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 665 kilometer menghubungkan Selangor dengan Pahang, Terengganu dan Kelantan. Projek yang dijangka siap akhir tahun 2026, akan memendekkan masa perjalanan Keluarga Malaysia dari Lembah Klang ke Terengganu daripada tujuh jam kepada empat jam.
"Projek ini juga akan merangsang pertumbuhan ekonomi Terengganu terutamanya dalam sektor pembinaan dan perkhidmatan kerana infrastruktur ECRL merangkumi 70% perkhidmatan kargo yang memudahkan pengangkutan bahan binaan merentas negeri," katanya.

Katanya, limpahan hasil pendapatan minyak telah membolehkan Terengganu membangunkan sektor-sektor lain termasuk sektor pelancongan yang disokong oleh keindahan alam semula jadi, selain populariti variasi makanan tradisi.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan menyambut baik inisiatif membangunkan kilang pemprosesan makanan haiwan ternakan berasaskan sumber alternatif iaitu sisa isirung kelapa sawit bernilai kira-kira RM20 juta, yang bakal beroperasi di Bukit Kor, Marang, hujung tahun ini.
Katanya, cadangan itu dijangka mampu memenuhi 80% permintaan daripada penternak haiwan di Terengganu, sekali gus dapat memastikan kelangsungan sumber makanan negara selain mengurangkan kebergantungan kepada bahan mentah yang diimport.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Konsep Keluarga Malaysia yang beliau perkenalkan pada 22 Ogos 2021 bersifat inklusif yang merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum dengan menggariskan tiga teras utama iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.
"Konsep ini turut mengajak rakyat Malaysia untuk mengenepikan perbezaan dalam memulihkan semula negara, bagi menggembleng tenaga dalam mendepani apa jua cabaran yang mendatang sebagai sebuah keluarga yang saling melengkapi antara satu sama lain.
"Apabila kita semua mempunyai titik persamaan, ia akan menyatupadukan rakyat dalam mencapai kesejahteraan ekonomi dan kestabilan politik. Kesejahteraan dan kestabilan inilah yang akan kita wariskan kepada anak cucu kita pada masa akan datang," katanya. - DagangNews.com








