PM selamat tiba di tanah air selepas lawatan ke New York, Abu Dhabi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PM selamat tiba di tanah air selepas lawatan ke New York, Abu Dhabi

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disambut sebagai wira Bahasa Melayu oleh ratusan yang hadir di KLIA pada 29 September 2022 kerana mencatat sejarah apabila berucap dalam bahasa kebangsaan di UNGA di New York. - Gambar BERNAMA

SEPANG 30 Sept - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selamat tiba di tanah air malam tadi selepas menamatkan lawatan kerja ke New York dan Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE). 

 

Pesawat yang membawa Perdana Menteri dan delegasinya tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira 10.30 malam.

 

Perdana Menteri melawat New York dan UAE masing-masing selama empat hari.

 

Beliau disambut ratusan yang hadir di KLIA sebagai wira Bahasa Melayu kerana mencatatkan sejarah, apabila berucap dalam bahasa kebangsaan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York, Bernama melaporkan.

 

Antara yang hadir ialah kakitangan Dewan Bahasa dan Pustaka bersama wakil Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), yang membawa plakad antaranya “Ismail Sabri Wira Negara Angkat Bahasa Negara di Pentas Dunia”.

 

Di UNGA yang menghimpunkan lebih 150 pemimpin dunia  untuk acara tahunan itu, Ismail Sabri menyampaikan Kenyataan Negara dalam bahasa Melayu -  kali pertama oleh seorang pemimpin Malaysia berucap menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya pada perhimpunan diplomatik terbesar itu.

 

Beliau turut menyentuh pelbagai isu antarabangsa antaranya konflik di Ukraine, isu Myanmar dan Palestin serta sekuriti makanan dan perubahan iklim. - DagangNews.com