KUALA LUMPUR 5 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan bantuan akan disalurkan secepat mungkin kepada mangsa banjir yang berlaku di Baling, Kedah, petang semalam.
Ismail Sabri menerusi hantaran di Facebook rasminya menzahirkan kesedihan dan simpati dengan kejadian tersebut yang mengakibatkan tiga nyawa terkorban setakat ini.
Beliau yang berada di Turkiye untuk lawatan rasmi sentiasa mengikuti perkembangan yang menimpa Keluarga Malaysia di Baling.
"Saya mengarahkan Setiausaha Politik, Datuk Mohammad Anuar mewakili saya turun ke kawasan bencana bagi meninjau dan memastikan bantuan disalurkan dengan secepatnya kepada mangsa.
"Kita meninjau keperluan segera yang diperlukan oleh mangsa-mangsa banjir yang terlibat di Baling dan bantuan harus segera disampaikan kepada mangsa walaupun saya berada di Turkiye," katanya.
Perdana Menteri juga telah mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan pihak berkuasa berkaitan bagi membantu mangsa-mangsa banjir.

"Saya doakan semoga mangsa-mangsa banjir tabah menghadapi dugaan ini.


"Takziah kepada mereka yang kehilangan insan tersayang dan sama-samalah kita sedekahkan Al Fatihah dan didoakan semoga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh," katanya. - DagangNews.com








