KUALA LUMPUR 7 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan rasa bangga melihat arus kemajuan yang dikecapi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) hasil usaha gigih yang disumbangkan warga penerokanya.
Ismail Sabri menerusi hantaran di Facebooknya mengucapkan selamat menyambut ulang tahun ke-66 untuk Felda hari ini.
"Saya mengucapkan selamat menyambut ulang tahun ke-66 Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) hari ini. Saya berbangga melihat arus kemajuan yang dikecapi Felda hasil usaha gigih yang disumbangkan oleh warga penerokanya," katanya.
Beliau juga mendoakan semoga Felda terus maju dan menjadi pemangkin kepada kesejahteraan seluruh warga peneroka dan generasi akan datang.
Terdahulu, Perdana Menteri sedang melakukan lawatan rasmi selama empat hari ke Turkiye, sejak Selasa lepas.
Beliau dijadual mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan hari ini.
Kedua-dua pemimpin itu dijangka saling bertukar pandangan berhubung usaha mengukuhkan hubungan, antara dua negara, di samping berbincang mengenai isu-isu membabitkan perkembangan serantau dan antarabangsa, terutama yang berkaitan dengan sekuriti makanan dalam pertemuan di Istana Presiden itu nanti. - DagangNews.com








