PM Anwar jamin tiada campur tangan dalam kes mahkamah libatkan Jemaah Menteri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PM Anwar jamin tiada campur tangan dalam kes mahkamah libatkan Jemaah Menteri

Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan ketika Waktu Pertanyaan Menteri pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada 21 Februari 2023. - Gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR 21 Feb - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan tidak akan mengganggu sebarang proses undang-undang melibatkan Jemaah Menteri yang terlibat dengan kes mahkamah.

 

Anwar berkata, beliau telah memaklumkan kepada Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara bahawa negara ini mesti ditegakkan atas prinsip negara hukum.

 

“Saya tidak mahu menghukum sebelum proses mahkamah yang telus dan bebas, tindakan tidak boleh diambil berdasarkan pendakwaan sebelum penghakiman.

 

“Hari ini ada Ahli Yang Berhormat (daripada pembangkang) yang didakwa (di mahkamah), adakah perlu letak jawatan semua kedudukan di dalam parti? Tentunya jawapannya belum ataupun tidak,” kata beliau pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini, lapor Bernama.

 

Anwar menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) sama ada pelantikan Jemaah Menteri yang mempunyai kes mahkamah akan mempengaruhi keputusan atau perbicaraan di mahkamah. - DagangNews.com