KUALA LUMPUR 15 Feb - Seramai 708 penjaja di Selangor berjaya memperoleh kemahiran pendigitalan melaui Program Latihan Pembangunan Penjaja Kecil Selangor anjuran Platform Selangor (PLATS) sejak Ogos 2022.
Sesi latihan tersebut melibatkan penjaja dari semua 12 daerah di negeri ini dan sesi terkini diadakan pada 27 Januari lalu yang disertai 60 penjaja dari Hulu Langat.
PLATS merupakan inisiatif Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) menjadi ejen kerajaan negeri untuk menyediakan latihan dalam membantu rakyat meningkatkan perniagaan mereka menerusi platform komuniti digital.
Latihan separuh hari itu dikendalikan bersama rakan kongsi setempat termasuk Maybank, OCBC dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk memberi khidmat nasihat mengenai manfaat pendigitalan perniagaan.
Sehingga kini, ramai peserta telah mendapat manfaat dan menerima sijil daripada latihan tersebut bagi membantu meningkatkan perniagaan.
Antaranya, daerah Kuala Selangor seramai 80 orang diikuti Subang Jaya (100 orang), Kajang (109 orang) dan Shah Alam (177 orang).
Dalam masa terdekat, lebih banyak latihan akan diadakan di Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim berkata, PLATS membantu menyediakan platform untuk peniaga terbabit berkembang dan bergerak ke arah dunia digital.
"Dalam melaksanakannya, kami yakin golongan peniaga, penjaja dan peniaga runcit ini mampu menjadi lebih mampan di masa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Program latihan itu merupakan asas bagi pemilik perniagaan kecil terlibat untuk belajar, merangkumi kemahiran teras dan kemahiran insaniah serta ruang terbaik untuk mereka bertanyakan soalan dalam usaha memperoleh pengetahuan yang lebih jelas mengenai pendigitalan.
Latihan tersebut merangkumi topik pengurusan akaun media sosial, suntingan asas hantaran media sosial, proses pengurusan tempahan dalam talian, penyesuaian transaksi tanpa tunai, pendigitalan asas perniagaan dan pengenalan kepada PLATS.
Raja Ahmad Shahrir Iskandar menekankan bahawa PLATS mengutamakan perkembangan peniaga dan peniaga runcit di negeri ini, di mana latihan tersebut dirangka kepada 12 bahagian dan peserta memperoleh kesedaran dan maklumat dalam perjalanan mereka ke arah pemodenan ekonomi.
Menurutnya, program itu menyasarkan untuk menambah baik laman web agar lebih mudah dan selesa untuk peniaga dan pengguna, serta pembimbing dan penceramah latihan. -DagangNews.com








