Planetmahir sedia tembusi pasaran global menerusi pelancaran aplikasi pendidikan AI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Planetmahir sedia tembusi pasaran global menerusi pelancaran aplikasi pendidikan AI

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Feb - Penyedia platform pendidikan digital, Planetmahir Sdn Bhd melangkah ke fasa dua pengembangan syarikat dengan pengenalan aplikasi teknologi kecerdasan buatan (AI).

 

Selain itu, program MAHIR Tutor A Level, International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) serta kurikulum persekolahan Indonesia, Singapura dan Brunei akan mula ditawarkan tahun ini, menandakan kemasukan Planetmahir ke pasaran pendidikan global.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir berkata, pengenalan aplikasi AI dan penerokaan ke pasaran pendidikan global itu menandakan bermulanya fasa dua syarikat itu yang dikenali sebagai 'Planetmahir 2.0'.

 

Katanya, Planetmahir ketika ini merupakan pemimpin pasaran dalam industri pendidikan dan latihan yang mana pihaknya kini telah bersedia untuk memasuki pasaran global menerusi pengenalan aplikasi AI tersebut.

 

"Kami berbesar hati untuk menawarkan satu platform digital yang lebih bermakna kepada semua pelanggan kami dengan pengalaman pembelajaran dan latihan yang terkini dan bersifat global," katanya ketika melancarkan Planetmahir 2.0 di Petaling Jaya, semalam.

 

Ahmad Ramzi berkata, aplikasi teknologi AI akan membolehkan pelajar mendapatkan pendidikan diperabadikan daripada MAHIR AI, iaitu aplikasi berasaskan 'AI-powered Intelligent Tutoring System' yang dibangunkan dengan kerjasama Organisasi Perdagangan Luar Jepun, JETRO dan dijangka siap akhir tahun ini.

 

"Antara ciri istimewa MAHIR AI adalah memberi nasihat kepada pelajar tentang kursus yang boleh diambil berdasarkan kebolehan dan pencapaian mereka, mencerap prestasi pembelajaran, menjangka kebarangkalian lulus atau gagal dalam peperiksaan, automasi pemeriksaan kertas jawapan peperiksaan serta pengesahan pengenalan diri apabila menduduki ujian dalam talian," katanya.

 

 

planetmahir
          Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir

 

 

Sementara itu, Planetmahir juga mengumumkan produk kelas digital dalam talian, MAHIR Tutor, kini dibuka kepada semua pelajar sekolah menengah dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6, yang boleh dilanggan dengan harga hanya RM10 sebulan bagi satu subjek. 

 

Kelas Tutor Digital itu sebelum ini hanya boleh diakses oleh pelajar secara percuma di bawah program tajaan khas untuk kumpulan pelajar dari keluarga B40.

 

 

planetmahir
 

 

 

MAHIR Tutor yang juga merupakan sebuah Sekolah Maya, mempunyai lebih 50,000 pelajar dari 397 buah sekolah di seluruh negara.

 

"MAHIR Tutor adalah kelas digital dalam talian yang menggunakan teknologi 'video-on-demand' di mana semua subjek pengajaran telah direkodkan dan boleh diakses secara dalam talian pada bila-bila masa dan di mana jua, sama ada melalui laman web planetmahir.com/tutor atau aplikasi mudah alih Planetmahir. 

 

 

planetmahir

 

 

Katanya, ia dibangunkan dengan bantuan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di bawah program Geran Pembangunan Kandungan (DCG).

 

Dalam pada itu, Planetmahir juga mengumumkan pelancaran Sistem Pengurusan Latihan (TiMS), khusus untuk kegunaan agensi kerajaan dan Penyedia Latihan. - DagangNews.com