KUALA LUMPUR 18 Julai - Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) sedang menunggu hasil perbincangan antara kerajaan Sarawak dan kerajaan Persekutuan berhubung cadangan negeri itu untuk membina sebuah lapangan terbang antarabangsa baharu di Kuching.
Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, tiada keputusan muktamad dibuat setakat ini kerana perbincangan masih berjalan.
“Kami maklum bahawa kerajaan negeri merancang membina sebuah lapangan terbang. Namun, perbincangan antara kerajaan negeri dan Persekutuan masih berlangsung,” katanya semasa taklimat media mengenai hala tuju strategik MAHB selepas penswastaan syarikat itu.
Cadangan lapangan terbang baharu di Kuching adalah sebahagian daripada hasrat lebih besar kerajaan Sarawak untuk meningkatkan infrastruktur penerbangan dan mencapai lebih banyak autonomi dalam sambungan udara negeri itu.
Perkara ini pertama kali diumumkan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang berkata lapangan terbang baharu adalah penting untuk menyokong pembangunan ekonomi negeri serta sektor pelancongannya yang semakin berkembang.

Menurut laporan media, lapangan terbang antarabangsa baharu Sarawak yang moden itu bakal dibina di Tanjung Embang dan akan berkonsepkan seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di Doha.
Satu jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak telah ditubuhkan bagi meneliti cadangan dan memantau pembangunan lapangan terbang baharu itu.
Mohd Izani berkata kerajaan negeri Sarawak telah menghubunginya untuk memohon bantuan teknikal, dan MAHB telah mengarahkan pasukan dalaman mereka memberi sokongan.
“Saya rasa dari segi bantuan teknikal, saya telah maklumkan kepada pasukan saya: mari kita bantu, kita bekerjasama dan lakukan yang terbaik. Selebihnya, kami tidak boleh campur kerana perbincangan antara kerajaan negeri dan Persekutuan masih berjalan. Jadi, kita tunggu dan lihat,” katanya.
Mohd Izani turut menjelaskan bahawa di bawah perjanjian operasi (Operating Agreement, OA) sedia ada dengan kerajaan Persekutuan, MAHB mempunyai hak pertama untuk mengurus mana-mana lapangan terbang baharu yang dibangunkan di negara ini, termasuk di Sarawak.
“Seperti yang termaktub dalam OA kami, semua lapangan terbang di negara ini akan diuruskan oleh MAHB. Kami ada hak pertama untuk menolak,” katanya sambil menambah bahawa syarikat itu komited menyokong dasar pembangunan penerbangan kerajaan Persekutuan dan negeri.
Bercakap mengenai projek naik taraf lapangan terbang di seluruh negara, Mohd Izani berkata MAHB menyasarkan untuk menyiapkan projek pengembangan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang menjelang Jun 2028.
Projek pengembangan itu bertujuan untuk mengatasi masalah kekangan kapasiti dengan meningkatkan keupayaan pengendalian kepada 12 juta penumpang setahun berbanding 6.5 juta sekarang.
Projek ini dilaksanakan dalam tiga fasa: Fasa Pertama melibatkan kerja-kerja infrastruktur dan pemindahan pejabat agensi kerajaan seperti Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Jabatan Meteorologi Malaysia.
Fasa Kedua melibatkan pengembangan apron yang sedang dijalankan, manakala Fasa Ketiga adalah pengembangan terminal utama.
Mohd Izani berkata fasa ketiga kini berada di peringkat akhir reka bentuk dan kelulusan lembaga serta pelantikan kontraktor dijangka dibuat sebelum hujung tahun ini.
“Tarikh sasaran siap masih kekal pada Jun 2028, dan kami komited untuk menepati jadual itu,” tambahnya.
MAHB juga sedang memuktamadkan pelan pembangunan bagi meningkatkan kapasiti Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu kepada 12 juta penumpang setahun serta merancang kerja naik taraf lapangan terbang di Tawau, Miri dan Kota Bharu. - DagangNews.com








