KUALA LUMPUR 29 Ogos - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH Plantations Bhd, Mohamed Zainurin Mohamed Zain, bertekad untuk mencabar apa yang disifatkannya sebagai penamatan pekerjaan yang tidak sah selepas diberhentikan serta-merta daripada jawatannya pada 26 Ogos 2025.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini menerusi peguamnya, Peguambela & Peguamcara Marwan bin Abdullah, Zainurin mengesahkan beliau telah menerima surat penamatan daripada syarikat berkenaan yang berkuat kuasa serta-merta.
Beliau menafikan sebarang salah laku dan menegaskan bahawa penamatan tersebut dilakukan “tanpa sebab dan alasan yang adil.”
Penamatan itu dibuat susulan dakwaan bahawa beliau meluluskan bayaran tanpa kebenaran berjumlah RM5.1 juta kepada pekerja ladang. Namun, pasukan guamannya menjelaskan bahawa jumlah sebenar yang dibayar adalah RM3.63 juta, bukan RM5.1 juta, dan pembayaran tersebut mempunyai justifikasi yang kukuh.
Menurut kenyataan itu, bayaran tersebut dibuat sebagai bayaran ex-gratia dan tunggakan gaji, bertujuan memastikan keharmonian industri serta kesaksamaan antara pekerja di Semenanjung Malaysia dengan mereka di Sabah dan Sarawak.
“Tujuan bayaran tersebut adalah untuk memberikan layanan yang adil dan sama rata kepada semua pekerja yang bersama-sama telah menyumbang kepada keuntungan sebelum cukai tertinggi dalam tempoh 10 tahun seperti yang direkodkan pada 2024,” menurut kenyataan itu.
Zainurin turut melahirkan rasa kecewa dengan keputusan berkenaan, sambil menegaskan beliau tidak menerima sebarang manfaat peribadi daripada pembayaran tersebut.
Beliau menekankan rekod prestasinya, di mana di bawah kepimpinannya, TH Plantations mencatatkan keuntungan sebelum cukai terkumpul sebanyak RM437.9 juta dari 1 Oktober 2021 hingga 30 Jun 2025, sekali gus menandakan salah satu tempoh paling menguntungkan dalam sejarah syarikat.
Pasukan guamannya mengesahkan bahawa beliau akan merayu terhadap penamatan itu, dan sekiranya gagal, beliau bersedia untuk mencabar keputusan tersebut melalui saluran perundangan, termasuk memfailkan aduan pembuangan kerja tidak adil di bawah Seksyen 20(1) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 di Jabatan Perhubungan Perusahaan.
Buat masa ini, Zainurin meminta orang ramai dan media memberi ruang kepada proses undang-undang untuk berjalan dengan adil serta tidak membuat sebarang kesimpulan awal.
TH Plantations Bhd setakat ini masih belum mengeluarkan sebarang komen lanjut berhubung penamatannya. - DagangNews.com








