Orang Malaysia masih anggap kereta simbol kemewahan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Orang Malaysia masih anggap kereta simbol kemewahan

Toyota Alphard kini bagaikan jadi kereta penanda aras kemewahan di Malaysia. Tidak lama dulu, Toyota Harrier - Gambar hiasan
Oleh MOHD FUDZAIL MOHD NOR

Sejak tujuh tahun lalu, hidup saya berubah dengan satu keputusan yang tidak pernah saya jangka akan menjadi kekal — saya tidak lagi memandu. Strok yang menyerang tubuh pada tahun 2018 memisahkan saya daripada stereng, pedal minyak, brek dan cermin sisi.

 

Kini, jalan raya saya tatap dari kaca tingkap kereta isteri atau dari sudut duduk belakang kenderaan Grab yang setia menjadi penghubung saya dengan dunia luar.

 

Dalam catatan kali ini, saya memilih sesuatu yang ringan tetapi tetap sarat makna: tentang orang Malaysia dan kereta.

 

 

parafrasa

 


Gila Kereta

Sering disebut oleh para pemerhati industri permotoran, Malaysia ialah sebuah negara yang “gila kereta”. Gelaran itu bukan sekadar kiasan; ia lahir daripada angka yang menakjubkan.

 

Menurut laporan dan perangkaan antarabangsa, Malaysia berada pada kedudukan ketiga tertinggi di dunia dalam pemilikan kereta per kapita bagi negara membangun, hanya di belakang Brunei dan Uruguay.

 

 

 

 

 

 

 

Bagi setiap 1,000 orang rakyat Malaysia, terdapat 678 buah kereta. Angka itu menempatkan kita pada tangga ke-22 di dunia. Bayangkan, dalam keluarga seramai lima orang, besar kemungkinan ada tiga kereta terparkir di hadapan rumah.

 

Jiran-jiran saya di SS7 Kelana Jaya semuanya mempunyai lebih daripada dua kereta satu rumah, malah ada yang sampai 10 buah.

 

Bandingkan dengan San Marino, sebuah negara kecil di Eropah yang mencatat 1,606 buah kereta bagi setiap 1,000 penduduk — hampir setiap orang dewasa memiliki lebih daripada sebuah kereta. Brunei pula mencatat 805 buah, Uruguay 738 buah. Angka-angka ini meletakkan Malaysia dalam kelompok elit dunia dalam hal kegilaan terhadap kereta.

 

Mengapa orang Malaysia begitu asyik dengan kereta?

Sebabnya bukan misteri. Antara faktor utama ialah pembangunan sosioekonomi yang pesat, kemudahan pembiayaan kenderaan yang longgar, harga bahan bakar yang pernah dikira murah, serta arus penghijrahan besar-besaran dari desa ke kota.

 

Dalam logik kota, kenderaan persendirian dilihat sebagai keperluan, bukan lagi kemewahan. Dari rumah ke pejabat, dari pejabat ke pasar raya, dari sekolah ke hospital — semua dihitung lebih mudah dengan kereta sendiri.

 

Namun, persoalan yang menggigit ialah: sampai bila cinta ini akan bertahan? Apabila harga petrol dan diesel semakin meningkat, kesesakan lalu lintas semakin parah, dan sistem pengangkutan awam semakin bertambah baik, apakah kereta masih akan menjadi idaman?

 

Saya tidak pasti sedalam mana orang Malaysia benar-benar mencintai kereta mereka. Pada pandangan saya, majoriti rakyat hanya melihat kereta sebagai utiliti seumpama periuk nasi atau mesin basuh. Ia ada untuk memudahkan hidup, bukan untuk dibelai dengan penuh kasih sayang.

 

Saya masih ingat pada tahun-tahun 1980-an dan 1990-an, hujung minggu sering menjadi pesta kecil di halaman rumah. Ramai jiran keluar dengan baldi, span dan sabun, mencuci kereta dengan penuh teliti. Ada juga yang membuka bonet, membelek enjin, menukar minyak hitam sendiri, mengetatkan skru longgar. Bagi sesetengah lelaki, itu lambang maskuliniti. Bagi yang lain, ia semacam ritual cinta.

 

Tetapi kini pemandangan itu semakin jarang. Semua urusan diserah kepada pusat servis berjenama, bengkel kecil, stesen minyak, atau pencuci kereta automatik. Malah ada pemilik kereta yang tidak tahu menukar tayar simpanan. Kenderaan dianggap barang pakai buang — bila rosak parah, beli baru sahaja.

 

Kereta bukan simbol kekayaan

Saya sendiri tidak pernah terlalu mengambil berat atau passionate terhadap kereta. Sejak mula memiliki Proton Saga terpakai pada tahun 1989, hinggalah deretan kenderaan lain — Proton Perdana, Peugeot, Suzuki, Toyota, Nissan — saya hanya melihatnya sebagai alat.

 

Saya tidak pernah memiliki kereta sendiri sejak bekerja di TV3 sehingga di Dubai dan bersara. Ketika bekerja di luar negara, saya sempat merasai pemanduan Rolls Royce, Mercedes, BMW, Hummer, Audi, Volvo, Jaguar, bahkan Volkswagen dan Honda selama hidup di UAE, sama ada kenderaan syarikat, kereta sewa atau kepunyaan rakan.


 

parafrasa

 


Tetapi walau secanggih mana pun kereta itu, saya tidak pernah menganggapnya sebahagian daripada identiti saya. Ia sekadar alat pengangkutan.

 

Bahkan sebelum strok, saya jarang menjaga kereta sendiri. Majikan yang menguruskan servis, dan saya hanya menggunakannya. Kereta terakhir saya sebelum jatuh sakit ialah Toyota Camry baharu, kadangkala saya menggunakan Mercedes atau Hummer syarikat.

 

Selepas strok, semuanya menjadi kenangan. Saya terpaksa belajar menerima bahawa saya tidak lagi mampu menekan pedal minyak, tidak lagi mengawal stereng ketika hujan lebat atau dalam kesesakan lalu lintas.

 

Belajar jadi penumpang

Namun hidup tanpa memandu membuka jendela baharu kepada saya. Saya belajar menjadi penumpang. Dengan Grab, saya menatap wajah pemandu dari pelbagai lapisan masyarakat terutama anak muda mencari rezeki sambilan, pesara yang ingin mengisi masa, atau pekerja tetap yang menjadikan Grab sebagai jalan keluar daripada himpitan hidup.

 

Saya mendengar cerita mereka, keluhan tentang kenaikan kos, harapan tentang masa depan. Dari tempat duduk belakang itulah saya belajar bahawa kereta bukan sekadar mesin; ia juga cermin ekonomi rakyat marhaen.

 

Masyarakat Malaysia masih meletakkan kereta sebagai lambang kejayaan. Anak muda yang baru bekerja sering memasang cita-cita untuk membeli kereta, walau terikat hutang bertahun-tahun.

 

Ada yang sanggup memilih model mewah walaupun pendapatan sederhana, demi imej dan gaya. Dari sudut psikologi, kereta bukan sahaja kenderaan, tetapi simbol status.

 

Namun, dalam diam, kereta juga menjadi beban. Hutang sewa beli menjerat ramai orang, ditambah dengan kos penyelenggaraan, tol, insurans, dan bahan bakar. Lebih menyakitkan, jam yang terbuang di atas jalan raya akibat kesesakan dengan berjam-jam lamanya dalam kenderaan, membazir usia yang tidak kembali.

 

Saya selalu teringat kata-kata seorang rakan lama: “Kelajuan tidak semestinya membunuh, tetapi kebebalan di jalan raya itulah yang membunuh.”

 

Benar sekali. Banyak kemalangan maut bukan kerana laju semata-mata, tetapi kerana sikap kurang sabar, tiada disiplin, suka menyalip sesuka hati, gagal memahami kemampuan kenderaan.


 

parafrasa

 


Kepada anak-anak muda yang baru mengenal dunia memandu, saya ingin menitipkan pesanan: fahamilah kenderaan anda. Jangan hanya tahu menekan pedal, tetapi kenali had dan keupayaan enjin, tayar, brek. Pandulah dengan berhemah, sabar dan cermat. Jalan raya bukan gelanggang menunjuk hebat, tetapi ruang untuk kita bergerak bersama.

 

 

 

 

Hari ini, sebagai warga emas OKU, saya menyedari betapa rapuhnya hubungan kita dengan kereta. Dulu saya berasa kereta itu lambang kebebasan. Kini, tanpa keupayaan memandu, saya sedar bahawa kebebasan itu bukan pada kereta, tetapi pada kemampuan bergerak dan berinteraksi dengan manusia. Grab dan kereta isteri sudah cukup. Saya tidak lagi mengejar kilauan jenama, kuasa enjin atau gaya luaran.

 

Apa yang saya perlukan hanyalah kenderaan yang boleh membawa saya ke destinasi, dengan pemandu yang sabar dan jalan raya yang selamat. Itulah hakikat hidup: kita sering menyangka kebahagiaan datang daripada memiliki, padahal ia sebenarnya terletak pada sekadar sampai dengan selamat. - DagangNews.com