Petronas, DNV bekerjasama dalam penyelesaian penggunaan karbon | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Petronas, DNV bekerjasama dalam penyelesaian penggunaan karbon

KUALA LUMPUR 19 Julai - Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan DNV, pakar bebas dalam pengurusan risiko dan jaminan, untuk menangani cabaran teknikal, kawal selia dan perniagaan penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).

 

Menurut Ketua Pembangunan Perniagaan DNV (CCUS, Sistem Tenaga), Jamie Burrows berkata, kedua-dua pihak merancang untuk bekerjasama dalam inisiatif dan aktiviti berkaitan penggunaan CCUS dengan memanfaatkan kemahiran teknikal, sumber dan keupayaan penyelidikan setiap organisasi.

 

"Skop kerjasama meliputi perkara berkaitan teknikal (termasuk keselamatan, persekitaran, risiko, teknologi dan kelayakan tapak penyimpanan) perundungan dan kawal selia, pembangunan keupayaan dan bidang komersial," katanya dalam kenyataan seperti dilapor Bernama hari ini.

 

MoU tersebut dimeterai pada 8 Julai lalu antara pengurus besar kanan pengurusan karbon Petronas, Emry Hisham Yusoff dan naib presiden merangkap pengarah serantau DNV (sistem tenaga Asia Pasifik), Brice Le Gallo.

 

Jamie berkata, kerjasama itu akan memacu kemajuan CCUS bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh rantau ini berikutan peranan penting CCUS dalam peralihan tenaga di Asia.

 

Katanya, menerusi inisiatif berkenaan, syarikat menyasarkan untuk menangani beberapa bidang asas kepada penubuhan hab serantau dan dengan itu membolehkan akses yang lebih besar kepada infrastruktur CCUS.

 

"Projek ini, membolehkan penyingkiran pelepasan karbon monoksida daripada aktiviti perindustrian, boleh memainkan peranan penting dalam peralihan Asia Tenggara kepada sifar bersih," katanya. - DagangNews.com