KUALA LUMPUR 25 April - Petronas Technology Ventures Sdn. Bhd. (PTVSB), cabang pengkomersialan teknologi Petronas, akan bekerjasama dengan Aerodyne Oil and Gas Sdn. Bhd. untuk meneroka peluang bagi penggunaan dan pengkomersialan penyelesaian berasaskan dron.
Ini menyaksikan kedua-dua syarikat itu menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) pada Khamis lalu untuk meningkatkan penggunaan teknologi sedemikian dalam industri tenaga, yang dijangka memacu pengoptimuman operasi dan mengurangkan jejak karbon dan meningkatkan keselamatan di tapak kerja.
Ia juga akan menyokong usaha syarikat minyak nasional itu untuk membolehkan operasi secara jauh dan autonomi melalui pengembangan robotik dan pendigitalannya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz berkata, kerjasama itu itu adalah bukti visi bersama kedua-dua organisasi untuk melonjakkan negara ke barisan hadapan dalam penyelesaian teknologi dron global.
"Dengan teknologi dalaman Petronas dan kepakaran Aerodyne, kami sentiasa melihat potensi menarik yang akan dibawa oleh teknologi berasaskan dron untuk industri tenaga serta sektor lain, khususnya dalam meningkatkan keselamatan dan mengurangkan jejak karbon di tapak kerja.
“Kedua-dua syarikat juga akan melihat kepada peningkatan teknologi, pembangunan modal insan, penubuhan peraturan dan piawaian berkaitan, serta mendorong untuk meliberalisasikan penggunaan perkhidmatan dron dalam industri Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini seperti dilapor Bernama.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTVSB, Dr Mahpuzah Abai berkata, gabungan kepakaran kedua-dua syarikat itu akan membuka kemungkinan baharu untuk penyelesaian berasaskan dron.
"Dengan kerjasama ini, ia tidak akan terbatas kerana kami bergabung tenaga dengan penyedia perkhidmatan dron tempatan, yang kini menduduki tempat pertama di dunia," tambahnya. - DagangNews.com








